Kerajaan dikecam amal ‘tyranny of the majority’

Usul gantung Takiyuddin 6 bulan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan dilihat seperti mengamalkan sikap ‘tyranny of the majority’ susulan tindakan mahu membawa usul menggantung Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan selama enam bulan daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat.

- Advertisement -

​Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyifatkan usul yang dijadualkan dibawa oleh Menteri Dalam Negeri esok sebagai satu tindakan amat memalukan dan mempunyai agenda tersembunyi untuk melemahkan suara pembangkang.

​Menurutnya, tindakan drastik itu diambil hanya kerana Ahli Parlimen Kota Bharu itu membangkitkan persoalan mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) berkaitan insiden latihan ‘ala komando’ oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Masjid Rusila, Marang, Terengganu pada September lalu.

​“Apa yang dibangkitkan oleh Kota Bharu pada 22 Oktober lalu adalah menuntut penjelasan berhubung SOP. Beliau menyebut dengan jelas, jika latihan komando ini dibuat di gereja atau kuil sekalipun, kami menentang. Apa latihan komando dibuat di tempat ibadat?

​“Namun, hari ini kami dimaklumkan satu usul akan dibawa untuk menggantung beliau selama enam bulan. Ini adalah agenda yang memalukan kerajaan. Apa takut sangat dengan Ketua Whip? Saya tahu banyak undang-undang nak dibawa dan diputuskan mungkin pada penggal hadapan.

​“Jadi, mereka mahu kurangkan jumlah penyokong di sebelah kami. Ini semata-mata menggunakan kedudukan majoriti atau tyranny of the majority,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

​Hamzah turut mempersoalkan kewajaran tindakan tersebut memandangkan APMM sendiri telah membuat permohonan maaf secara lisan kepada pihak pengurusan masjid, malah Menteri Dalam Negeri sendiri sebelum ini menyatakan isu tersebut telah selesai dan meminta semua pihak untuk ‘move on’.

​Jelasnya, pendedahan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di masjid tersebut menimbulkan keraguan yang munasabah apabila kelihatan individu berpakaian biasa berlari keluar dalam keadaan tergesa-gesa, selain pencerobohan ke ruang solat wanita dan tandas wanita.

​“Persoalan paling asas, mengapa Masjid Rusila yang dijadikan lokasi latihan? Ia bukan masjid kerajaan, tetapi masjid yang dibangunkan oleh rakyat dan persendirian.

​“Apakah motif latihan ini? Siapakah musuh yang dimaksudkan? Siapakah tebusan atau sasaran yang hendak diloloskan? Lebih membimbangkan, ketika kejadian berlaku, terdapat kumpulan sedang berlatih memanah di belakang masjid.

​“Akibat panik melihat orang berlari, hampir berlaku kemalangan melibatkan anak panah. Sebab itu kita minta SOP yang jelas supaya keselamatan terjamin,” tegasnya.

​Beliau turut mengingatkan bahawa ketika Takiyuddin berada di blok pembangkang pada tahun 2015, beliau pernah mempertahankan veteran DAP, Lim Kit Siang daripada digantung, membuktikan konsistensi beliau dalam menentang ketidakadilan di Parlimen.

​“Terimalah hakikat bahawa segala apa yang dilakukan hari ini dalam Parlimen adalah menggunakan majoriti bagi kepentingan mereka semata-mata.

​“Kami bangkitkan ini kerana kepentingan rakyat. Yang gusar ketika itu adalah rakyat dan kariah Masjid Rusila,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 3/12/2025

- Advertisement -