Kerajaan PH-BN ibarat ‘tembak kaki sendiri’ – Peguam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan Ahli Parlimen DAP yang mengkritik keras Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu pemanggilan peguam memberi gambaran bahawa kerajaan hari ini sedang ‘menembak kaki sendiri’.

- Advertisement -

​Pengamal undang-undang, Yusfarizal Yussoff berkata, kritikan yang dilontarkan oleh Ahli Parlimen Gelugor,  Ramkarpal Singh dan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer di Dewan Rakyat semalam membuktikan kepincangan yang berlaku dalam pentadbiran Kerajaan PH-BN sudah tidak dapat disembunyikan lagi.

​Beliau bersetuju dengan pandangan kedua-dua Ahli Parlimen tersebut bahawa tindakan SPRM memanggil peguam untuk memberikan maklumat dan dokumen anak guam adalah bertentangan dengan prinsip ‘legal professional privilege’ (hak istimewa peguam-anak guam).

​“Tiada peguam yang akan bersetuju dengan tindakan ini kerana ia melanggar asas amalan guaman dan sistem keadilan. Namun, apa yang berlaku menunjukkan Perdana Menteri (PMX) tidak langsung menegur Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki atas apa yang telah dilakukan.

​“Mungkin tidak mahu ‘campur tangan’. Akhirnya, penyokong kerajaan (backbenchers) pula yang terpaksa menegur, malah dari DAP pula itu. Seolah-olah menembak kaki sendiri,” katanya.

​Mengulas lanjut, Yusfarizal turut membangkitkan ironi kedudukan Azam Baki yang dahulunya menjadi sasaran kritikan pimpinan Pakatan Harapan (PH) sebelum menjadi kerajaan.

​Ujarnya, sebelum pilihan raya, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pernah mengeluarkan kenyataan mahu ‘menangkap’ Azam Baki, namun selepas membentuk kerajaan, kontrak beliau disambung pula.

​“Perdana Menteri meletakkan sepenuh kepercayaan kepadanya, siap kata beliau berjaya perangi kartel dan kutip berbilion-bilion ringgit.

​“Nyatanya, apa yang sedang berlaku dalam pentadbiran Kerajaan Madani (PH-BN) sudah tidak dapat lagi ditutup dengan ‘nyiru’. Bangkainya sudah terdedah di halaman rumah. Terpaksalah penyokong sendiri pun tembak. Kaki sendiri pun, kaki sendirilah,” sindirnya.

​Beliau turut menambah secara sinis bahawa mungkin inilah masa yang sesuai untuk penyokong reformasi bangkit kembali dan melaungkan nama Azam Baki seperti yang pernah dilakukan dahulu.

​Isu ini timbul susulan tindakan SPRM memanggil peguam, Mahajoth Singh yang mewakili ahli perniagaan Albert Tei ke ibu pejabat suruhanjaya itu.

​Ia berikutan notis yang dikeluarkan mengikut Seksyen 30(1) Akta SPRM 2009, yang memberi kuasa kepada SPRM untuk menghendaki mana-mana orang hadir dan mengemukakan dokumen atau rakaman diperlukan bagi membantu siasatan.

​Albert Tei kini disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 berhubung dakwaan memberi rasuah kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri untuk mendapatkan semula wang yang diberikan kepada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah. – HARAKAHDAILY 3/12/2025

- Advertisement -