
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) dilihat gagal memahami tatacara perolehan kerajaan apabila menyamakan isu surat sokongan Setiausaha Politiknya dengan surat syor pembaikan jalan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Terengganu.
Pengamal undang-undang, Yusfarizal Yussoff berkata, beliau terkejut dengan tindakan Anwar di Parlimen yang dilihat cuba membias (divert) isu sebenar dengan membangkitkan surat bertarikh 26 Januari 2025 daripada Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Hanafiah Mat.
Jelasnya, surat Exco Terengganu itu adalah satu syor rundingan terus bagi mempercepatkan projek pemulihan jalan terputus dari Jalan Batu Rakit ke Mengabang Telipot, yang merupakan kes kecemasan demi kepentingan awam.
“PMX tidak faham perolehankah? Faham dua perkara asas iaitu syor dan pembaikan jalan terputus yang perlu dipercepatkan. Merujuk Pekeliling Perbendaharaan Malaysia PK 2.4 (Perkara 2.1), rundingan terus dibenarkan bagi perolehan yang perlu disegerakan supaya tidak menjejaskan kepentingan awam.
“Jalan yang terputus perlu dibaiki segera supaya rakyat tidak susah bergerak. Maka Exco mengesyorkan rundingan terus kepada Pegawai Kewangan Negeri dan ia masih tertakluk kepada kelulusan pegawai tersebut,” katanya.
Yusfarizal yang juga Ketua Penerangan PAS Selangor membezakan situasi tersebut dengan surat sokongan daripada Setiausaha Politik Perdana Menteri yang membabitkan projek pembinaan hospital.
Tegasnya, projek hospital bukan satu kes kecemasan yang mendesak seperti jalan putus, malah wujud perbezaan kuasa yang ketara antara Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan Kementerian Kesihatan.
“Kita semua faham siapa lebih tinggi kuasanya antara pejabat PM dengan pejabat Kementerian. Kalau menjerit soal tata kelola, ini perlu dihentikan terlebih dahulu.
“Dulu kita yang menjerit sakan. Tapi begitulah Perdana Menteri kita. Asal ditanya sahaja terus emosi dan membias perkara lain,” ujarnya.
Beliau turut menyindir sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) yang kini seolah-olah bertukar menjadi medan pertengkaran.
“PMQT sudah jadi Prime Minister Quarrelling Time,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 2/12/2025











