Jualan Rahmah jadikan peniaga bagai mengemis

- Advertisement -

IPOH: Kerajaan disaran melantik kedai-kedai runcit tempatan sebagai ejen pelaksana inisiatif Jualan Rahmah bagi memastikan manfaat subsidi dinikmati secara menyeluruh tanpa menjejaskan pendapatan peniaga kecil sedia ada.

- Advertisement -

​Razman Zakaria (PN-Gunung Semanggol) berkata, penganjuran jualan murah yang dikendalikan oleh agensi tertentu secara berpusat dan berkala menyebabkan capaiannya terhad dan bersifat terpilih.

​Jelasnya, kaedah sedia ada turut memberi kesan negatif kepada ekosistem perniagaan runcit di kawasan terlibat apabila pelanggan beralih tumpuan kepada program jualan tersebut semata-mata.

​“Apabila ada jualan ini, pertamanya kedai-kedai runcit akan terkesan. Keduanya, disebabkan jualan itu dibuat oleh satu agensi lain, maka ia tidak boleh diedarkan secara menyeluruh dan hanya terpilih di kawasan tertentu sahaja.

​“Mengapa kita tidak lantik kedai-kedai runcit yang berada di semua kawasan? Jika kita ada bajet subsidi daripada kerajaan pusat dan sebagainya, kita salurkan melalui peruncit ini,” katanya.

​Beliau berkata demikian ketika mencelah sesi penggulungan perbahasan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina, Woo Kah Leong pada Persidangan Dewan Negeri Perak, semalam.

​Menurut Razman yang juga Ketua Pembangkang DUN Perak, mekanisme pelantikan peruncit tempatan dilihat lebih praktikal kerana ia memudahkan akses penduduk setempat mendapatkan barangan keperluan tanpa perlu menunggu program jualan berkala.

​“Dengan cara ini, kedai runcit tidak terjejas dan penduduk setempat pun boleh mendapat barang yang diberi subsidi dengan elok di seluruh kawasan,” ujarnya lagi.

​Dalam respon balasnya, Kah Leong mengambil maklum kritikan yang diutarakan termasuk isu lokasi jualan di kawasan pedalaman, kesan persaingan kepada peruncit kecil serta persepsi program tersebut yang seolah-olah menjadikan rakyat seperti pengemis di tanah air sendiri. – HARAKAHDAILY 2/12/2025

- Advertisement -