
KOTA KINABALU: Ketua Penerangan PAS Sabah, Mustaman Mustain memanjatkan kesyukuran kepada hadrat Ilahi atas pencapaian yang memberangsangkan parti itu melalui PERIKATAN NASIONAL dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.
“Sesungguhnya ini adalah kejayaan kita bersama setelah PAS menapak di bumi Sabah sejak 1986,” ujarnay dalam satu kenyataan, semalam.
Sehubungan itu, beliau mengambil kesempatan mewakili Biro Penerangan dan Media Baharu PAS Sabah merakamkan ucapan jutaan terima kasih tidak terhingga kepada semua pimpinan serta jentera penerangan di seluruh peringkat termasuk PAS Pusat, negeri-negeri bantu, Kawasan-kawasan bantu, kawasan-kawasan tanding dan orang perseorangan.
“Terlalu banyak coretan yang boleh dicatatkan susulan kejayaan manis ini. Sayugia diingatkan, kerja kita selepas ini lebih banyak dan lebih besar daripada sebelumnya.
“Di bahu setiap daripada kita terpikul beban tanggungjawab untuk mewajahkan PAS Sabah melalui PERIKATAN NASIONAL sebagai sebuah parti yang mesra semua kaum agama, mempelopori Politik BAIK, Politik Solusi dan membudayakan politik matang sejahtera tanpa meninggalkan DNA asal PAS,” tambahnya.
Justeru, beliau mengajak seluruh jentera khususnya anak muda terlibat dalam kerja yang panjang dan berat ini.
“Akhirnya, sekali lagi saya merakamkan ucapan jutaan terima kasih buat kamurang.
“Hanya Allah yang akan membalas segala jerih payah serta pengorbanan kamurang yang tidak terhingga sehingga kejayaan ini dikecapi,” tambahnya.
Pada PRN yang berlangsung Sabtu lalu, calon PN daripada PAS, Datuk Dr Aliakbar Gulasan memenangi kerusi DUN Karambunai dengan majoriti 365 undi.
Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS negeri yang memperolehi 7,054 undi menewaskan 10 lagi calon termasuk penyandang.
Lima lagi calon PN daripada PAS yang bertanding di DUN Merotai, Tanjung Batu, Balung, Kunak dan Petagas turut menunjukkan peningkatan undi yang ketara walaupun belum capai kemenangan. – HARAKAHDAILY 1/12/2025











