‘Sauna gay’: Sistem perundangan negara tempang!

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pelepasan 171 individu warga tempatan yang ditahan dalam serbuan pusat hiburan songsang ‘sauna gay’ akibat kekangan prosedur undang-undang sivil membuktikan sistem perundangan negara kini berada dalam keadaan tempang.

- Advertisement -

​Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya berkata, insiden kegagalan mendapatkan perintah reman atas alasan ‘tiada mangsa mengaku’ adalah bukti jelas betapa kritikalnya kesan pencerobohan terhadap bidang kuasa Mahkamah Syariah.

​Tegasnya, situasi ini mengesahkan amaran pihaknya sebelum ini bahawa penghakisan kuasa undang-undang Syariah melalui kes-kes mahkamah berprofil tinggi akan melumpuhkan usaha membendung gejala moral.

​Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menyifatkan perkara sedang berlaku ini adalah impak daripada duluan (precedent) kes Iki Putra dan diikuti dengan kes Nik Elin beberapa tahun lalu.

​“Pihak yang tegas mempertahankan bahawa kesemua undang-undang ini harus ditangani Mahkamah Sivil, hari ini sekadar melihat betapa undang-undang sedia ada meninggalkan sisi-sisi kelompangan yang jelas,” katanya.

​Terdahulu, negara dikejutkan dengan serbuan di sebuah premis di Chow Kit yang berselindung di sebalik gimnasium dan sauna, namun didapati menjadi sarang aktiviti songsang.

​Dalam operasi tersebut, seramai 201 pengunjung ditahan termasuk 17 penjawat awam, remaja dan warga emas.

Pemeriksaan mendapati premis itu turut menyediakan bilik khas digelar ‘dark room’ untuk tujuan maksiat, di mana pengunjung hanya dibenarkan memakai tuala putih.

​Walau bagaimanapun, permohonan reman terhadap 171 warga Malaysia ditolak oleh mahkamah susulan tiada individu yang tampil mengaku menjadi mangsa, menyebabkan siasatan di bawah peruntukan undang-undang sivil menemui jalan buntu.

​Mengulas lanjut, Ahmad berkata, kes ini menyerlahkan sebab sebenar mengapa kelompok liberal bersungguh-sungguh mahu memindahkan bidang kuasa jenayah moral ke Mahkamah Sivil.

​“Mahkamah Syariah sepatutnya diberikan kuasa mengadili kes sebegini kerana perbuatan tersebut adalah satu jenayah berat dalam Islam. Malangnya, peruntukan itu telah dicabar dan dibatalkan.

​“Adakah umat Islam sedar akan hakikat yang sedang berlaku? Kebejatan moral yang parah dibendung atas alasan bidang kuasa sivil semata-mata sehingga menenggelamkan sisi sebenar daripada perspektif agama,” ujarnya.

​Beliau turut memetik Laporan Global AIDS Monitoring Malaysia 2024 yang mendedahkan bahawa penyumbang utama HIV di negara ini bukan lagi perkongsian jarum suntikan, sebaliknya berpunca daripada kegiatan seks songsang.

​Justeru, pihaknya menggesa kerajaan segera menutup kelompangan undang-undang ini bagi mengelakkan budaya lesbian, gay, biseksual, transgender, queer (LGBTQ) dinormalisasi tanpa sedar.

​“Kita tidak wajar membiarkan gejala ini terus berleluasa. Usah biarkan negara runtuh di sebalik anai-anai yang memakan kayu. Ketika itu kita hanya sedar apabila runtuhan tersebut sudah pun berlaku, na’uzubillahi min zalik,” katanya lagi. – *HARAKAHDAILY 1/12/2025*

- Advertisement -