PRN Sabah: PAS dari Gardenia kepada mendunia

- Advertisement -

KEPUTUSAN PRN Sabah telah diketahui. Setelah beberapa minggu berkempen, diselangi dengan berbagai rencah isu-isu yang digunakan oleh semua parti bagi mengalahkan lawan, penat lelah akhirnya diputuskan oleh tangan-tangan pengundi Sabah yang pada permulaan kempen, begitu bersemangat untuk melakukan sesuatu bagi menghumban calon-calon yang mereka anggap sebagai memusnahkan harapan Sabah.

Sesuatu yang perit untuk ditelan oleh orang Sabah ialah, walaupun negeri mereka dipenuhi dengan hasil bumi yang begitu banyak, namun, mereka tetap menjadi antara negeri termiskin di Malaysia. Bukan sekali, bukan dua, malahan sentiasa dikategorikan sebagai antara negeri-negeri miskin di Malaysia.

Jika mereka membuat bandingan dengan Kelantan yang konon mahu dikaitkan dengan pemerintahan PAS, mereka sebenarnya silap. Kelantan tidak mempunyai banyak sumber bumi dan hasil petroleum yang ada, dipegang oleh Pusat. Sabah pula hasilnya diberikan, tetapi di mana bocornya? Dan jika orang Sabah mendakwa hasil 40 peratus mereka masih dalam tangan pusat, maka apa ertinya kamu bergabung dengan pusat, akhirnya dibuli sama seperti Kelantan?

- Advertisement -

Isu ini bukan setahun dua, tetapi sudah diarkibkan dalam sejarah politik Sabah, banyaknya katak-katak politik yang bukan menjadi penyokong, tetapi menjadi pemimpin Sabah. Contoh klasik yang paling diingati ialah Jeffry Kitingan.

Lihat rekod beliau, sudah berapa banyak parti yang beliau masuk dan keluar. Mungkin yang dilihat mustahil ialah beliau masuk PAS. Tetapi jika PAS menjadi kerajaan, tidak mustahil beliau memohon masuk untuk menjadi ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS.

Kerajaan Sabah paling rapuh. Sentiasa bertukar bukan kerana kalah PRN, tetapi kerana mudah dibeli oleh mereka yang berkepentingan untuk membentuk kerajaan. Calon Bebas paling menjadi jika ditawarkan. Yalah, bagaimana mahu berjuang jika kamu pembangkang, kemudiannya tiada parti, ahli apatah lagi.

Jadi pengurusan rakyat menjadi sukar, bagaimana mahu berkhidmat dengan baik? Pastilah dengan menyertai parti-parti utama yang mempunyai majoriti kerusi. Entah-entah dapat jawatan Menteri atau Timbalan Menteri di sana.

Dan, masih jua Sabah itu miskin, walau siapapun yang bertukar ganti menjadi pemimpin negeri mereka. Ini adalah hakikat yang mesti ditelan oleh rakyat Sabah. Dan jika mereka masih memilih calon-calon yang mereka sendiri tahu tidak kukuh pendiriannya, maka kepada siapa lagi salah itu mahu dihumbankan? Tangan kamu yang memilih, jangan orang lain yang dijadikan ‘punching bag’.

Walak menghasilkan anak sulung

Akan tetapi yang paling menarik dalam keputusan PRN Sabah kali ini ialah kemenangan PAS yang bergabung dalam PN di Karambunai. Majoritinya tidak banyak, tetapi cukuplah kerusi sulung ini dijadikan tapak langkahan pertama sebelum melangkah dengan lebih besar di Sabah.

Datuk Dr Aliakbar Gulasan, sememangnya layak dan dipercayai. Dalam PAS, insya-Allah tiada pengkhianatan yang akan dilakukan kerana calon PAS wajib berbaiah dengan nama Allah, bukan dengan denda jutaan ringgit.

Siapa yang mahu percaya yang PAS bakal menang kerusi pertama mereka di Sabah? Ia sama seperti kondisi PAS di sebelah Pantai Barat pada zaman awal 80-an hingga akhir zaman milenia. Orang akan ketawa terbahak-bahak, ibarat mendengar lelucon, jika ada PAS menyatakan impian akan menang kerusi di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Tanah Umno yang dianggap mustahil untuk ditawan PAS, walaupun hanya sebutir kerusi.

Namun keyakinan PAS, kesabaran dalam hubungan PAS dengan masyarakat serta dengan iringan doa dan munajat, akhirnya bukan sahaja PAS menang beberapa kerusi, malah turut menjadi anggota kerajaan atau pernah memerintah di empat buah negeri Perlis, Perak, Selangor dan Kedah, selain kekal di dua buah negeri kubu PAS, Terengganu dan Kelantan.

Ia berlaku bagaikan mimpi. Bukan setahun dua, tetapi puluhan tahun dengan iringan fitnah, kejian, sekatan dan banyak lagi halangan lain. Apabila kehendak Allah menyatakan demikian, tiada apa yang berkuasa menahannya.

Yang menjadikan PAS tidak terkeluar dari arus politik Malaysia ialah ‘istiqamah’ mereka dengan perjuangan Islam. Pengkaji politik sering memuji PAS dalam hal ini. Walak, suatu formula yang dibenci oleh lawan PAS kerana gagal menghasut ahli PAS supaya menderhaka pimpinan mereka, tetapi menjadi senjata PAS yang paling ampuh sebagai perisai melindungi jemaah ini.

Semua parti mahukan ahli mereka taat kepada pimpinan mereka, tetapi hanya PAS yang berjaya mendidik ahli-ahlinya supaya sentiasa taat arahan pimpinan.

Isti’jal itu dari syaitan

Maka benarlah kalam almarhum Tuan Guru Dato’ Harun Taib, mantan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat suatu ketika dahulu iaitu orang-orang PAS mesti bersikap sabar dalam berjuang dan jangan isti’jal iaitu gopoh gapah, mahukan kemenangan dengan cepat.

Kemenangan dengan kesabaran lebih bertahan kukuh dan manis berbanding dengan kemenangan yang dikejar secara gopoh gapah. Sikap tenang itu dari Allah dan isti’jal itu dari syaitan.

Dari isu roti Gardenia yang dikatakan menghina rakyat Sabah, PAS Sabah sebaliknya mendunia dengan berjaya menangani semua ujian bagi mengecapi hasil yang manis ini. Ia turut dikongsi dengan linangan air mata sahabat-sahabat dari Semenanjung, melihat dari kejauhan kejayaan yang tidak dapat diungkap dengan kata-kata ini.

Menyaksikan sujud syukur yang dilakukan Dr Aliakbar, maka sedarilah wahai rakyat Karambunai, Dr Aliakbar insya-Allah tidak akan melihat kepercayaan anda semua sebagai permainan teng-teng yang melompat ke sana ke mari bagi memenangi perlawanan.

Tetapi dalam PAS, jawatan itu adalah amanah, sesuatu hal yang amat serius kerana dengan jawatan, ia boleh memberikan kebaikan dan keburukan. Sesiapa yang memegangnya, dia pasti akan dihisab oleh Allah.

Tiadalah bagi orang beriman berhasrat untuk menyeksa diri mereka sendiri di padang mahsyar nanti hanya sekadar kegilaan merebut jawatan, lalu bermain-main dengan amanah itu, sehingga menyebabkan kemurkaan Allah.

Yakin dan percayalah rakyat Karambunai, insya-Allah, pilihan anda semua adalah tepat. Semoga Allah mengira jihad tuan-tuan dalam kemenangan ini, samada dalam bentuk tenaga, harta mahupun doa, sebagai pahala, insya-Allah.

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 1/12/2025

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -