
KEPUTUSAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini memberikan kejutan besar kepada banyak pihak termasuk badan-badan penyelidik, pemerhati politik, serta kepimpinan parti-parti utama. Jika sebelum ini majoriti ramalan meletakkan DAP sebagai pemenang selesa di kawasan majoriti Cina, keputusan sebenar ternyata jauh meleset iaitu DAP tewas 0 kerusi. Perkembangan ini bukan sahaja membuka dimensi baharu politik Sabah, tetapi memberi isyarat jelas terhadap pola sokongan pengundi Cina di seluruh Malaysia.
1. DAP: Dari penguasaan kukuh kepada ‘0 kerusi’
Keputusan PRU17 Sabah adalah ‘big loser’ untuk DAP. Pengundi Cina di Sabah memberikan mesej yang sangat jelas. Mereka menolak DAP, bukan sekadar mengurangkan sokongan. Mereka juga tidak berpuas hati dengan PH secara keseluruhan, yang kini hanya memenangi 1 kerusi di Sabah. Fenomena ‘silent killer’ undi Cina ini sangat ketara, tenang tanpa bising, tetapi memberi impak besar.
2. Mengapa pengundi Cina beralih? Warisan sebagai ‘model alternatif’
Salah satu penemuan terpenting ialah pola sokongan pengundi Cina di Sabah:
Mereka tidak mahu PH (termasuk DAP),
Mereka tidak mahu BN,
Mereka tidak mahu PN,
Tetapi mereka mahu opsyen baharu.
Dalam konteks Sabah, opsyen yang tersedia ialah Warisan yang merupakan sebuah parti yang tidak terikat dengan mana-mana blok besar nasional. Ini menyebabkan Warisan ‘menyapu bersih’ hampir semua kerusi majoriti Cina.
3. Implikasi keputusan Sabah kepada politik Semenanjung
Analisa mendalam menunjukkan bahawa pola pemikiran pengundi Cina adalah hampir seragam di seluruh negara sama ada di Sabah, Sarawak dan Semenanjung. Justeru trend di Sabah kemungkinan besar memberi petunjuk awal perubahan di Semenanjung.
Tiga faktor utama penolakan:
1. Penolakan terhadap DAP (PH).
2. Penolakan terhadap BN kerana persepsi rasuah.
3. Penolakan terhadap PN atas faktor politik identiti.
Ini menyebabkan pengundi Cina di Semenanjung juga berada dalam dilema ketiadaan pilihan yang dirasakan ‘bersih’ dan ‘moderat’.
4. MCA atau MUDA sebagai ‘opsyen baharu’ di kawasan Cina
Berdasarkan pemerhatian hanya dua entiti politik berpotensi menjadi ‘pembunuh’ dominasi DAP di Semenanjung:
1. MCA jika bergerak secara solo tanpa terikat BN.
2. MUDA sebagai parti baharu berhaluan sederhana.
Kenapa?
Kerana pengundi Cina mahukan pilihan alternatif yang tidak terikat dengan blok-blok politik besar. DAP hanya boleh dikalahkan jika MCA bergerak solo atau MUDA menjadi alternatif.
5. Kemungkinan kejatuhan kubu kuat DAP: Pulau Pinang
Lebih mengejutkan, berdasarkan trend di Sabah mungkin kuasa politik DAP di Pulau Pinang terkesan. Pulau Pinang merupakan kubu paling kukuh DAP berpotensi tumbang jika muncul parti Cina sederhana yang bertanding tanpa kaitan BN atau PN. MCA atau MUDA boleh meraih undi protes pengundi Cina yang kini ‘tidak puas hati’ dengan DAP.
Ini satu hipotesis politik yang radikal, tetapi menjadi semakin logik berdasarkan data Sabah.
6. Dapatan Ilham Centre dan badan kajian lain sedikit meleset
Ilham Centre meramalkan DAP akan menang 4 kerusi. Hakikatnya ialah DAP menang 0. Ini menunjukkan isyarat halus perubahan sokongan pengundi Cina tidak dapat dibaca oleh model kaji selidik tradisional. Wujudnya gelombang protes senyap (‘silent protest vote’) yang sukar dikesan.
7. Kesimpulan besar: Sabah menghantar ‘amaran awal’ kepada DAP dan PH
Gabungan dapatan di atas membawa kepada satu kesimpulan penting. PRN Sabah adalah mesej nasional bahawa pengundi Cina kini mencari opsyen baharu. Trend ini boleh dipecahkan kepada 3 poin utama:
1. Sokongan terhadap DAP merosot dengan serius.
2. PH kehilangan daya tarikan di kawasan bandar.
3. Jika tiada alternatif baharu, undi Cina akan terus ‘terpaksa memilih’, bukan memilih dengan rela.
Penutup
PRN Sabah bukan sekadar pertembungan lokal. Ia adalah barometer politik nasional, khususnya bagi pengundi Cina. Apa yang berlaku di Sabah mungkin hanya permulaan kepada perubahan lebih besar di Semenanjung. Trend sudah bermula. Isyarat sudah diterjemah melalui peti undi. Kini negara menunggu, apakah MCA atau MUDA akan muncul sebagai alternatif dan mengubah landskap politik Cina di Malaysia?
ABU FAWWAZ – HARAKAHDAILY 1/12/2025
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











