90 peratus kilang tiada kebenaran merancang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) digesa memberi perhatian serius terhadap isu pemutihan dan infrastruktur di Zon Industri Kapar yang kini berdepan risiko keselamatan dan operasi kritikal.

- Advertisement -

​Dr Halimah Ali (PN-Kapar) mendedahkan statistik membimbangkan apabila hanya sekitar 10 peratus daripada jumlah kilang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa yang mempunyai kebenaran merancang rasmi.

​“Di DUN Sementa sahaja sudah ada hampir 700 kilang, tetapi jawapan kepada soalan ADUN Sementa menyatakan daripada 694 kilang, hanya 70 atau 10 peratus sahaja mempunyai kebenaran merancang rasmi daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

​“Bayangkan risikonya. Tolonglah ambil tindakan supaya semuanya berjalan secara teratur,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2026 peringkat jawatankuasa bagi kementerian tersebut di Dewan Rakyat, hari ini.

​Menurut Halimah, Zon Industri Kapar merupakan antara nadi penting sektor pembuatan di Lembah Klang yang menempatkan pelbagai sektor industri termasuk logam, plastik, makanan dan minuman.

​Namun, kawasan tersebut kini berdepan cabaran ‘infrastruktur usang’ seperti jalan raya sempit, kesesakan logistik yang teruk pada waktu puncak, serta sistem saliran dan bekalan elektrik yang tidak memenuhi keperluan industri moden.

​“Kelemahan ini meningkatkan kos operasi dan mengurangkan kecekapan rantaian bekalan. MITI perlu bekerjasama dengan Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kerajaan Negeri Selangor untuk menaik taraf jalan dan sistem pengurusan trafik pintar,” ujarnya.

​Beliau turut mencadangkan penubuhan ‘Program Akademi Industri MITI Kapar’ bagi menangani krisis tenaga kerja mahir serta dana diversifikasi rantaian bekalan untuk membantu pengilang mengurangkan pergantungan kepada satu sumber sahaja.

​Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai rundingan perjanjian perdagangan antarabangsa, merujuk kepada Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART), dengan menuntut jaminan kerajaan dalam mempertahankan kedaulatan negara.

​Beliau mempersoalkan apakah ‘garis merah’ (red lines) yang ditetapkan MITI bagi melindungi sektor strategik seperti telekomunikasi, data, grid tenaga, pelabuhan dan sistem kewangan daripada dikuasai pihak asing.

​“Adakah terdapat sebarang klausa yang memberi keutamaan kepada syarikat Amerika Syarikat dalam tender atau projek strategik? Tolong bantu Malaysia, selamatkan kedaulatan kita,” tegasnya lagi. – HARAKAHDAILY 1/12/2025

- Advertisement -