
IPOH: Kerajaan Negeri Perak disaran mewujudkan satu papan pemuka (dashboard) perumahan menggabungkan data permintaan mengikut mukim, pendapatan dan trend migrasi bagi mengatasi isu lambakan rumah tidak terjual yang kritikal di negeri ini.
Muhammad Zulfadli Zainal (PN-Slim) berkata, langkah itu penting untuk memastikan kelulusan projek perumahan pada masa hadapan benar-benar berasaskan keperluan sebenar rakyat, bukan sekadar penawaran semata-mata.
Menurutnya, laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) menunjukkan terdapat 2,844 unit kediaman siap tidak terjual di Perak bagi tahun 2024 dengan anggaran nilai RM855.3 juta, di mana daerah Manjung dan Kinta mencatatkan jumlah tertinggi.
”Walaupun sektor hartanah merupakan pemacu ekonomi, kita tidak boleh menafikan wujudnya kesenjangan antara penawaran dan kemampuan sebenar rakyat.
”Data menunjukkan purata pendapatan isi rumah di Perak sekitar RM4,600 hingga RM4,700 sebulan, lebih rendah berbanding purata kebangsaan.
”Ini mewujudkan jurang besar apabila harga rumah yang ditawarkan, walaupun dianggap sederhana (RM250,000 – RM350,000), masih sukar dicapai oleh golongan B40 dan sebahagian besar M40,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika membahaskan Belanjawan Perak 2026 pada Persidangan Dewan Negeri Perak di Bangunan Darul Ridzuan, di sini hari ini.
Dalam perbahasan sama, beliau turut bersetuju dengan celahan Mohd Hafez Sabri (PN-Manjoi) yang membangkitkan isu ketidakseimbangan antara kadar pertumbuhan penduduk dengan pembangunan perumahan di Perak.
Jelasnya, kadar pertumbuhan penduduk Perak yang rendah iaitu 0.2 peratus tidak seiring dengan kepesatan pembinaan perumahan, berbeza dengan Selangor yang mempunyai pertumbuhan seimbang.
”Projek yang lulus berdasarkan faktor penawaran semata-mata tanpa menilai demografi lokaliti menyebabkan pembangunan terbengkalai, nilai hartanah merosot dan pembaziran guna tanah,” ujarnya.
Bagi menangani isu ini, Muhammad Zulfadli menggariskan beberapa cadangan termasuk menyemak semula definisi ‘rumah mampu milik’ berdasarkan realiti daerah di Perak, dan bukannya meletakkan satu angka seragam untuk seluruh negeri.
”Kerajaan juga boleh bekerjasama dengan pemaju untuk menukar status rumah tidak terjual kepada skim Sewa-Milik (Rent-to-Own), kuarters pekerja atau rumah transit belia.
”Selain itu, percepatkan proses kelulusan dengan sistem digital yang telus dan perkenalkan skim bantuan deposit untuk pembeli rumah pertama bagi memudahkan urusan rakyat,” cadangnya lagi. – HARAKAHDAILY 27/11/2025











