Isu RTB Sg Kangsar, pembalakan Gunung Bubu

- Advertisement -

IPOH: Luluskan segera permohonan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kangsar bernilai RM150 juta yang telah dua kali ditolak, demi keselamatan penduduk yang berdepan risiko banjir berulang.

- Advertisement -

​Berhanudin Ahmad (PN-Manong) berkata, walaupun Kerajaan Persekutuan telah meluluskan 466 projek di Perak dengan nilai RM1.8 bilion di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), ketiadaan kelulusan untuk RTB itu amat mengecewakan warga Kuala Kangsar.

​”Difahamkan permohonan RTB Sungai Kangsar telah dimohon dua kali, iaitu pada Rolling Plan 5 (RP5) RMK12 dan RP1 RMK13, tetapi masih tidak diluluskan. Isu banjir di Jalan Perkuburan dan perkampungan Kuantong telah berlarutan hampir tujuh tahun tanpa penyelesaian konkrit.

“Manakala kampung sekitar Sungai Talang terus menjadi hotspot banjir,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Perak 2026 pada Persidangan Dewan Negeri Perak, di sini hari ini.

​Beliau turut menjemput Exco Infrastruktur untuk turun padang melihat sendiri penderitaan penduduk yang terkesan dan mendedahkan kejadian banjir mengejut yang melanda Kampung Gua dan Kampung Suak Petai pada 25 November lalu, melibatkan 61 buah rumah.

​Menurutnya, banjir kali ini disifatkan sebagai luar biasa apabila air naik sehingga paras leher dalam tempoh kurang dua jam, menjejaskan kediaman yang tidak pernah dinaiki air sejak 20 tahun lalu.

​Beliau menyuarakan kebimbangan bahawa kejadian tersebut berpunca daripada aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Gunung Bubu, yang menyebabkan air larian permukaan (runoff) mengalir deras ke Sungai Gua dan Sungai Jeliang.

​”Saya ingin merujuk bantahan penduduk Mukim Senggang pada 24 November 2023 terhadap projek pembalakan di kawasan tersebut. Walaupun Menteri Besar sebelum ini memberi jaminan pembalakan mematuhi EIA, namun apa yang dibimbangi rakyat kini telah berlaku.

​”Pembalakan menyebabkan kawasan tadahan air terganggu. Justeru, saya memohon Jabatan Alam Sekitar (JAS) membuat tinjauan segera kerana mungkin terdapat ketidakpatuhan terhadap Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA),” tegasnya.

​Bagi mengatasi masalah banjir kilat di kawasan bandar dan pertanian, Berhanudin turut mencadangkan agar kerajaan mewajibkan penyediaan kolam takungan (retention pond) bagi semua projek pembangunan tanpa mengira saiz.

​”Buat masa ini tiada undang-undang yang mewajibkan setiap pembangunan menyediakan kolam takungan secara menyeluruh.

​”Kajian saliran dan peningkatan aliran perlu diwajibkan dan diteliti secara terperinci oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebelum sebarang kelulusan projek diberi,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 27/11/2025

- Advertisement -