Desak beri perhatian isu fasiliti kesihatan, bekalan air, WiFi

- Advertisement -

IPOH: Kerajaan Negeri Perak digesa memberi perhatian serius terhadap isu fasiliti kesihatan yang kritikal termasuk ketiadaan petugas kebersihan di klinik kesihatan serta gangguan bekalan air bersih setiap kali hujan lebat.

- Advertisement -

​Rahim Ismail (PN-Changkat Jering) berkata, situasi di Klinik Kesihatan Changkat Jering amat membimbangkan apabila fasiliti yang menampung lebih 40,000 penduduk itu tidak mempunyai petugas kebersihan.

​”Dalam daerah Larut, Matang dan Selama terdapat 14 klinik kesihatan, namun hanya empat sahaja yang mempunyai petugas kebersihan. Kakitangan Klinik Kesihatan Changkat Jering yang seramai 63 orang terpaksa menjalankan tugas-tugas pembersihan selain tugas hakiki mereka.

“Saya mohon peruntukan khas bagi mengatasi masalah ini,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Perak 2026 pada Persidangan Dewan Negeri Perak di Bangunan Darul Ridzuan, di sini hari ini.

​Beliau turut membangkitkan isu kerusi rawatan pergigian yang uzur dan rosak di klinik pergigian sekitar Terong dan Changkat Jering yang memerlukan penggantian segera demi keselesaan rakyat.

​Menyentuh isu infrastruktur, Rahim meluahkan kekecewaan penduduk apabila Loji Rawatan Air Terong terpaksa ditutup setiap kali hujan lebat akibat air sungai yang keruh, menyebabkan gangguan bekalan air berlarutan sehingga dua ke tiga hari.

​”Walaupun Lembaga Air Perak (LAP) menyediakan lori tangki, ia tidak mencukupi untuk menampung jumlah kampung yang terlibat. Kerajaan perlu mencari mekanisme penyelesaian kekal dan bukan membiarkan rakyat terus terbeban,” ujarnya.

​Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar kerajaan mengkaji semula Prosedur Operasi Standard (SOP) bantuan mangsa banjir.

​”Ramai mangsa banjir kilat yang mengalami kerosakan harta benda tetapi tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atau rumah mereka jauh dari PPS, tidak layak menerima bantuan.

​”Perlu ada inisiatif untuk membantu golongan ini kerana mereka juga menanggung kerugian,” katanya.

​Rahim turut menekankan keperluan menaik taraf infrastruktur asas di Parlimen Bukit Gantang merangkumi DUN Changkat Jering, Sepetang dan Terong termasuk pembinaan perangkap sedimen, penyelenggaraan parit dan pendalaman sungai bagi mengurangkan risiko banjir.

​Selain itu, beliau mencadangkan penyediaan tong sampah besar (RORO) yang lebih banyak oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta jadual kutipan yang konsisten bagi menangani isu sampah haram, terutamanya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

​”Bagi aspek digitalisasi, liputan internet yang lemah di kawasan pinggir bandar perlu dinaik taraf dengan menambah menara telekomunikasi dan inisiatif WiFi komuniti bagi merapatkan jurang digital untuk pelajar dan peniaga kecil,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 27/11/2025

- Advertisement -