Tawar peruntukan adil semua ADUN tanpa kira parti

- Advertisement -

KOTA KINABALU: PERIKATAN NASIONAL (PN) menyatakan komitmen untuk menggubal undang-undang bagi membolehkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah menerima peruntukan tahunan yang sama rata tanpa mengira latar belakang parti politik sekiranya diberi mandat mentadbir negeri ini.

- Advertisement -

​Tawaran tersebut merupakan antara intipati utama di bawah tunjang ‘Kasi Bagus Tadbir Urus Sabah’ digariskan dalam manifesto parti itu demi menyuburkan amalan demokrasi yang matang serta memastikan kebajikan rakyat di setiap kawasan terpelihara tanpa diskriminasi politik.

​Langkah ini dilihat sebagai satu anjakan paradigma dalam pentadbiran kerajaan negeri bagi memastikan setiap wakil rakyat mempunyai sumber kewangan yang setara untuk menyantuni dan menyelesaikan permasalahan penduduk di kawasan masing-masing.

​Selain kesaksamaan peruntukan, PN turut bertekad melaksanakan penstrukturan semula Kabinet Sabah menerusi pengagihan portfolio dan fungsi pentadbiran yang lebih seimbang dan sejajar dengan keperluan pembangunan semasa.

​Bagi mengelakkan pemusatan kuasa yang berlebihan, gabungan itu juga menjamin bahawa Ketua Menteri hanya akan memegang portfolio teras yang benar-benar perlu dan bagi memastikan segala janji ditawarkan ini dilaksanakan sepenuhnya, sebuah Panel Pemantau Khas akan diwujudkan.

Panel ini bakal dianggotai oleh wakil masyarakat dan golongan profesional anak Sabah yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang untuk memantau prestasi kerajaan.

​Dalam aspek pengurusan kewangan dan integriti, PN berhasrat memperkukuh sistem perbelanjaan negeri dengan menubuhkan badan Ombudsman bebas untuk bertindak terhadap sebarang laporan penyelewengan, selain menggubal Enakmen Kebebasan Maklumat bagi meningkatkan ketelusan pentadbiran.

​Rakyat juga bakal diberi akses kepada portal perbelanjaan awam yang memaparkan maklumat kontrak, nilai tender, dan status projek secara telus, disokong oleh dasar tender kerajaan lebih cekap bagi mengurangkan risiko rasuah.

​Sementara itu, di bawah tunjang ‘Kasi Bagus Hak Sabah’, PN terus konsisten memperjuangkan pelaksanaan ketetapan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk tuntutan mengembalikan 40 peratus hasil negeri kepada Sabah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

​Gabungan itu turut menawarkan penubuhan ‘Sabah Future Fund’ (SFF), sebuah dana kekayaan berdaulat dengan modal pemula berperingkat sebanyak RM10 bilion, bertujuan menjamin pulangan jangka panjang daripada hasil sumber asli negeri demi manfaat generasi masa depan Sabah.

​Menerusi gabungan tawaran reformasi institusi dan pemerkasaan ekonomi ini, PN yakin dapat meningkatkan kecekapan perkhidmatan kerajaan negeri serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) melalui penggunaan teknologi digital terkini untuk melonjakkan kesejahteraan rakyat Sabah. – HARAKAHDAILY 25/11/2025

- Advertisement -