
KOTA KINABALU: Sokongan terhadap calon PERIKATAN NASIONAL (PN), termasuk Dr Afifi Saif terus meningkat dengan maklum balas amat positif daripada penduduk DUN Patagas sepanjang siri ziarah yang dianjurkan.
Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusof berkata penduduk terutama anak muda jelas memperlihatkan sokongan mereka terhadap calon PN, Dr Afifi dan beliau mengingatkan pengundi supaya berani membuat perubahan demi kepentingan rakyat Sabah sendiri agar tidak mengulangi kesilapan dulu.
“Kita berharap pengundi khususnya anak muda memberi peluang dan kepercayaan kepada Dr Afifi yang disifatkan sebagai calon terbaik untuk membawa perubahan di kawasan itu,” katanya.
Beliau berkata rakyat akan rugi besar sekiranya penduduk Patagas tidak memilih Dr Afifi sebagai pemimpin mereka memandangkan kebaikan, keprihatinan dan akhlak beliau telah terbukti lama dalam masyarakat dan Dr Afifi juga merupakan anak muda profesional yang dihormati ramai.
“Pengundi diingatkan supaya tidak tersalah membuat pilihan. Kesilapan memilih akan mengambil masa hampir lima tahun untuk diperbetulkan semula,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada ceramah kelompok di Patagas dekat sini kelmarin.
Dato’ Siti Zailah menegaskan Sabah memerlukan calon yang bersih, berintegriti dan mampu membawa kebaikan kepada negeri serta masyarakat, tambahan pula, majoriti penduduk Patagas terdiri daripada ahli keluarga besar Dr Afifi sendiri.
Beliau menyeru agar pengundi muda turut bangkit memberikan sokongan kepada calon muda tersebut demi masa depan yang lebih baik untuk Sabah.
“Jangan salah pilih. Pilihlah calon yang baik akhlaknya, calon yang membawa kebaikan untuk rakyat Sabah. Dr Afifi ini orang muda, profesional dan banyak berjasa kepada masyarakat. Rugi besar kalau tidak pilih beliau,” katanya.
Beliau berkata setakat ini sambutan yang diterima sangat positif, sekali gus menguatkan harapan PN untuk meraih kemenangan di kawasan tersebut. – HARAKAHDAILY 25/11/2025












