
KUALA LUMPUR: Dr Halimah Ali (PN-Kapar) menggesa kerajaan menumpukan pembangunan rangka kerja etika kecerdasan buatan (AI) yang komprehensif, selari dengan pertumbuhan pesat industri itu di negara ini.
Beliau berkata, pasaran AI Malaysia diunjur mencapai USD1.5 bilion (RM7 bilion) menjelang 2030, sekali gus menunjukkan potensi besar kepada ekonomi negara.
Namun menurutnya, potensi itu turut hadir bersama risiko sekiranya tiada kawal selia yang mencukupi.
“Kita perlukan rangka kerja etika AI, bukan hanya inovasi AI. Tanpa kawal selia, potensi ini disertai dengan risiko,” ujarnya ketika Belanjawan 2026 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Digital di Dewan Rakyat, Parlimen di sini semalam.
Dr Halimah merujuk hasil kajian global oleh Massachusetts Institute of Technology (MIT) yang mendapati 78 peratus pengguna tidak mempercayai AI untuk membuat keputusan yang adil, sekali gus menunjukkan keperluan mendesak terhadap garis panduan kukuh.
Beliau berkata, negara masih belum mempunyai rangka kerja etika AI yang menyeluruh, justeru mendesak kerajaan memperuntukkan dana modal benih (seed capital) sebanyak RM20 juta bagi menubuhkan Pusat Etika AI Malaysia.
Menurutnya, pusat berkenaan bertujuan membiayai penyelidikan, membangunkan garis panduan tempatan serta melatih semula sekurang-kurangnya 5,000 pekerja dalam bidang pengurusan dan pentadbiran AI beretika.
“Tujuannya untuk memastikan pertumbuhan ekonomi AI kita tidak merugikan nilai dan tidak merosakkan kestabilan sosial kita,” jelasnya.
Dr Halimah menegaskan bahawa pemberdayaan digital, keselamatan siber proaktif dan kepimpinan etika AI adalah pelaburan kritikal yang akan menentukan kejayaan atau kegagalan transformasi digital negara.
“Dengan fakta dan angka ini, adalah jelas bahawa kita perlu mengalihkan fokus daripada sekadar membina ‘paip’ digital kepada memastikan apa yang mengalir di dalamnya adalah selamat dan rakyat mampu menggunakannya untuk memacu kehidupan lebih baik,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/11/2025











