
PUTATAN: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi DUN Petagas, Dr. Afifi Saif menegaskan wanita Sabah kini tidak boleh dipinggirkan lagi.
Justeru, katanya setiap inisiatif ekonomi, keselamatan dan kebajikan mesti memberi impak nyata dan terus sampai ke tangan rakyat.
Menurutnya, dalam Manifesto PN bagi tunjang kesembilan, Kasi Bagus Wanita Sabah melalui Program Profesional Wanita Sabah (PWS), wanita profesional boleh menerima geran sehingga RM50,000 untuk memulakan perniagaan sendiri.
Katanya, doktor boleh membuka klinik kecil, akauntan membangunkan firma micro-consulting, guru pula menubuhkan pusat bimbingan.
Tambahnya, program itu lengkap dengan modul pengurusan kewangan dan pemasaran digital supaya wanita bukan sekadar menerima bantuan, tetapi diberi kuasa untuk berjaya.
“Seramai 10,000 usahawan wanita akan diperkasa dengan geran RM15,000, latihan pengurusan kedai online, kemasan produk dan persediaan eksport.
“Mentor berpengalaman dan sokongan pendigitalan melalui katalog online, fotografi produk dan platform e-dagang disediakan, dengan pemantauan KPI setiap suku tahun bagi memastikan bantuan memberi hasil nyata kepada pendapatan mereka,” katanya.
Beliau menambah, keselamatan wanita juga menjadi keutamaan di mana Pusat Perlindungan Wanita Sabah (PUSWAS) menyediakan tempat selamat bagi mangsa keganasan rumah tangga, lengkap dengan peguam, kaunselor dan perlindungan sementara.
Katanya, Program Mammogram Sabah Prihatin pula menawarkan pemeriksaan percuma untuk wanita 45 tahun ke atas, dengan kempen kesedaran kanser payudara dijalankan di seluruh negeri.
“Bagi meringankan beban keluarga, PERIKATAN NASIONAL Sabah akan menyediakan Bantuan Lahir Sabah RM500 dan Bantuan Awal Taska/Tadika RM500 untuk keluarga B40. Program Wanita Sabah Bangkit (WSB) pula menyediakan RM800 sebulan selama 3 bulan, kaunseling kesihatan mental, latihan kerja dan penempatan kerja, khusus bagi ibu tunggal dan wanita ditinggalkan,” ujarnya.
Beliau menegaskan semua itu adalah sebahagian daripada tawaran PN Sabah, yang bertujuan memberi sokongan segera dan langsung kepada wanita, keluarga B40, dan komuniti.
“PERIKATAN NASIONAL juga mendorong polisi mesra ibu bekerja termasuk waktu kerja fleksibel, kerja dari rumah (WFH), ruang penjagaan anak di tempat kerja dan insentif cukai kepada syarikat.
“Wanita Sabah bukan sekadar peserta pembangunan, mereka adalah penggerak ekonomi dan masyarakat,” tambah beliau.
Menurutnya lagi, semua langkah itu menunjukkan komitmen PN untuk memastikan wanita Sabah mendapat kuasa, peluang dan perlindungan yang nyata, sejajar aspirasi rakyat membina masyarakat inklusif, sejahtera dan berdikari. – HARAKAHDAILY 24/11/2025











