JENDELA: Capaian internet pedalaman sukar dapat akses

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta memberi penjelasan tuntas berhubung status pelaksanaan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di kawasan luar bandar khususnya di perkampungan Orang Asli, FELDA dan pedalaman yang dilaporkan masih berdepan masalah liputan tidak stabil.

- Advertisement -

​Ir Ts Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) berkata, walaupun peruntukan sebanyak RM770 juta disediakan, realiti di lapangan menunjukkan masih banyak kawasan yang tercicir daripada menikmati kemudahan tersebut.

​”Saya ingin bertanya status pelaksanaan JENDELA di Jerantut kerana masih banyak tempat khususnya di kawasan FELDA, kampung tradisional, perkampungan Orang Asli dan pedalaman berhampiran Taman Negara yang tidak mempunyai liputan stabil.

​”Bagaimana peruntukan RM770 juta ini dapat difokuskan kepada kawasan-kawasan ini? Di Kampung Sajang contohnya, penduduk melaporkan talian tidak stabil dan sukar mendapat akses pembelajaran digital serta urusan rasmi walau kerajaan menjanjikan peningkatan capaian,” katanya.

​Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2026 peringkat Kementerian Komunikasi di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

​Khairil Nizam turut mencadangkan agar Kementerian Komunikasi bekerjasama dengan Pejabat Ahli Parlimen bagi mengenal pasti kawasan ‘blind spot’ yang tercicir daripada liputan.

​Dalam pada itu, Khairil Nizam turut menyentuh isu gejala sosial di media sosial melibatkan kanak-kanak bawah umur.

​Beliau bersetuju dengan langkah melarang penggunaan media sosial bagi mereka yang berumur 16 tahun ke bawah bagi membendung budaya negatif seperti ‘dark side’ di aplikasi X (Twitter) dan Telegram.

​Namun, beliau mencadangkan agar akauntabiliti tersebut diperluas kepada ibu bapa melalui proses verifikasi yang lebih ketat.

​”Adakah Timbalan Menteri bersetuju kita ‘extend’ (lanjutkan) akauntabiliti ini kepada ibu ayah? Maknanya bila anak nak buka akaun, kena dapat verifikasi ibu bapa.

​”Ibu bapa juga perlu ada akaun supaya mereka boleh pantau anak-anak. Masalah sosial ini bukan isu kerajaan atau pembangkang, ia isu tamadun.

​”Kalau anak-anak kita ada masalah zina, kelahiran anak tak sah taraf yang mencecah belasan ribu kes, apa akan jadi pada kepimpinan negara akan datang? Kita tidak salahkan teknologi, tetapi kita perlu usaha supaya anak-anak ini dapat dikawal dengan baik,” tegasnya.

​Selain itu, beliau turut membangkitkan isu keberkesanan sistem panggilan kecemasan dan menuntut jaminan kerajaan supaya integrasi antara agensi penyelamat benar-benar lancar bagi mengelakkan insiden kelewatan ambulans berulang. – HARAKAHDAILY 24/11/2025

- Advertisement -