Tol Genting: PAS tuntut penjelasan Kerajaan Pahang

Ustaz Aireroshairi Roslan
- Advertisement -

KUANTAN: PAS Pahang menyuarakan kebimbangan serius berhubung laporan cadangan pengenaan tol atau caj akses bagi kenderaan menuju ke Genting Highlands yang kini menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat negeri ini.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS negeri, Ustaz Aire Roslan, berkata Genting Highlands merupakan nadi penting ekonomi pelancongan Pahang, justeru apa jua keputusan berkaitan akses masuk ke kawasan itu memberi implikasi besar kepada pekerja, penduduk tempatan dan industri pelancongan.

Menurut beliau, kerajaan negeri bertanggungjawab menjelaskan isu itu secara telus dan tanpa berlengah bagi mengelakkan kekeliruan awam.

“PAS Pahang menuntut penjelasan rasmi daripada Kerajaan Negeri Pahang mengenai status sebenar cadangan tol, justifikasi pengenaan caj tersebut, serta pihak yang terlibat dalam kutipan sekiranya ia dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan di laman sosial PAS Pahang, hari ini.

Beliau turut meminta penjelasan mengenai impak sosioekonomi termasuk kesannya kepada pekerja yang berulang-alik setiap hari, perniagaan tempatan serta rakyat Pahang yang bergantung kepada ekonomi setempat.

Selain itu, katanya, sekiranya kutipan dibuat atas alasan penyelenggaraan infrastruktur, rakyat berhak mengetahui jumlah kutipan, kaedah penggunaan serta pihak yang menguruskan hasil tersebut bagi memastikan ketelusan.

PAS Pahang juga, ujarnya mempersoalkan sama ada kerajaan telah menjalankan libat urus awam bersama pekerja, penduduk dan pihak berkepentingan sebelum cadangan itu dibawa ke peringkat pertimbangan dasar.

“Jalan ke Genting Highlands adalah kemudahan awam yang telah digunakan rakyat sejak sekian lama. Sebarang cadangan tol mesti mengambil kira prinsip keadilan dan kesejahteraan rakyat, tanpa menekan golongan pekerja dan usahawan kecil,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya PAS Pahang menggesa kerajaan negeri memberikan penjelasan segera agar spekulasi yang sedang tular dapat dihentikan dan rakyat menerima maklumat yang tepat. – HARAKAHDAILY 24/11/2025

- Advertisement -