Jaulah LESTARI di bumi Pattani dan tragedi banjir Hatyai

- Advertisement -

MENATAP dengan penuh keterujaan pada manuskrip lama di Muzium Al-Qur’an Melayu Raya di Narathiwat, Thailand, juga pelbagai artifak sejarah yang membuktikan Pattani Darussalam adalah ‘Serambi Makkah’ yang berjasa kepada ummat. Sesampainya di sana, rombongan kami telah diberikan taklimat khas oleh Ustaz Muhamad Lutfi Ahmad. Beliau di antara pengkaji-pengkaji kitab-kitab lama, manuskrip serta merupakan sosok ilmuan bumi Pattani yang sering kali diundang ke banyak tempat untuk berkongsi ilmu dan pengalaman kepada masyarakat pencinta sejarah.

Muzium Al-Qur’an ini sejak dibuka pada tahun 2010, telah menerima kunjungan puluhan ribu orang serta acap kali berkolaborasi dengan banyak pihak termasuk Kerajaan Turkiye, Kerajaan Kelantan, Terengganu dan lain-lain.

- Advertisement -

Bahan-bahan sejarah dunia Islam yang amat berharga di Muzium Al-Qur’an Melayu Raya Narathiwat ini bukan sahaja diperolehi dari alam Melayu namun juga dari tinggalan Kerajaan Moghul India, Yaman serta Uthmaniah.

Kompleks yang indah setakat ini menjadi Muzium Al-Qur’an terbesar di Asia Tenggara serta akan menjadi sebahagian edu-tourism negara Thailand. Muzium Al-Qur’an Melayu Raya ini juga turut menghimpunkan ribuan manuskrip Melayu dalam pelbagai bidang sehingga mencecah 39,000. Sebahagian besar daripadanya telah berjaya melalui proses pendigitalan sebagai usaha pemuliharaan khazanah ilmu ulama-ulama Nusantara.

Anggota rombongan kami yang terdiri daripada pemimpin JPKK DUN Jerteh serta aktivis LESTARI turut meninjau pameran yang mempamerkan al-Qur’an yang berusia dari 150 tahun sehingga 1,100 tahun tulisan tangan.

Antara yang menarik perhatian kami ialah al-Qur’an tulisan tangan Tok Kenali, ulama Nusantara yang tersohor atau nama sebenarnya, Tuan Guru Yusuf Ahmad al-Kenali, yang telah bermukim selama 22 tahun di bumi Makkah. Moyang kepada Almarhum Bob Lokman yang pernah menggerakkan LESTARI selama beberapa penggal ini juga meninggalkan banyak legasi termasuklah majalah Pengasuh yang menjadi majalah tertua di negara kita. Al-Qur’an tulisan tangan Tok Kenali ditulis pada tahun 1134 Hijrah juga satu magnum opus ulama Kelantan Serambi Makkah yang merupakan pemikir besar Islam di Nusantara termasuk mengasaskan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.

Anggota rombongan yang jelas terpanar dengan rakaman sejarah termasuk tokoh-tokoh ulama pejuang Nusantara yang lain seperti Sheikh Abdul Samad Palimbani, Sayyid Abdul Rahman Al-Idrus atau Tok Ku Paloh, Tuan Guru Sulong Mat Amin, Tok Bendang Daya serta lain-lain ulama tersohor alam Melayu.

Menarik juga bila mana ulama Pattani telah berjasa mengubah landskap pendidikan Islam di Terengganu selepas tahun 1832 dengan membuka pondok-pondok pengajian Islam di Terengganu bermula dari Besut sehinggalah ke Kemaman.

Semenjak abad ke-15, Pattani adalah sebuah nama besar dalam peradaban dan perdagangan dunia Islam. Kehebatan ulamanya sehingga mendapat perhatian Khilafah Uthmaniah, bahkan ramai ulama Pattani menjadi tenaga pengajar di Masjidil Haram serta kitab-kitab ulama Pattani dicetak di Istanbul. Pattani dalam susur sejarahnya adalah sebuah kerajaan Islam berdaulat yang mendapat jolokan ‘Serambi Makkah’, dengan jaringan ratusan pondok pengajian Islam, ribuan para ulama dan asatizah. Tanah Yala, Narathiwat, Setul dan Pattani menjadi tempat pemukiman ilmu kepada santri dari pelbagai penjuru Nusantara seperti Kemboja Champa, Brunei, Pulau Jawa, Sumatera, Tanah Melayu, Mindanao dan lain-lain.

Ulama Pattani bukan sahaja hebat menggerakkan pengajian Islam di tanah leluhur mereka sendiri namun sebahagian yang lain membuka perkampungan ilmu di Makkah yang dikenali sebagai Bukit Ajjiyad, mengajar di Masjidil Haram serta menggerakkan Makkah sebagai pusat operasi gerakan jihad di Nusantara. Ulama Pattani mengarang kitab yang bertebaran ke alam Melayu, antaranya Sheikh Daud Pattani, Sheikh Wan Ahmad al-Pattani,  Sheikh Wan Mohamad Zain dan lain-lain sang pencerah.

Di zaman moden, bumi ummat Islam ini menjadi sebahagian daripada negara Thailand dengan sejarah panjang peperangan, namun keberadaan pondok pengajian Islam masih dikekalkan dan menjadi pilihan untuk santri dari Malaysia, Indonesia, Cambodia dan lain-lain untuk datang belajar agama. 

Pondok menjadi benteng akidah serta penegasan jati diri Melayu Islam melalui penggunaan Bahasa Melayu dalam pengajaran dan kitab-kitab Melayu dan Arab.

Jaulah LESTARI Jerteh juga diberi satu pengalaman paling berharga apabila tersadung dengan banjir di kota Hat Yai (Hadyai). Program untuk melawat Majlis Ulama Pattani, pondok-pondok pengajian Islam termasuk pondok Baba Salleh serta pondok pengajian Islam milik Baba Ismail serta makam syuhada Sheikh Abdul Samad Palimbani serta puluhan ulama pejuang yang lain terbantut apabila hujan lebat diakhiri dengan banjir yang melanda Hat Yai serta wilayah Selatan.

Media melaporkan lebih 4,000 orang pelancong dari Malaysia telah terperangkap dalam banjir buruk penghujung tahun.
 
Anggota jaulah Jerteh LESTARI terpaksa mengharungi air banjir di tengah bandar Hat Yai sejauh 3.2 kilometer untuk bergegas pulang ke Terengganu memandangkan kenaikan air yang mendadak dan kesukaran mendapatkan makanan serta terputusnya bekalan elektrik di sekitar kawasan penginapan.

Hujan terus mencurah deras sehingga menjadikan wilayah Selatan Thailand bertakungan air serta diisytiharkan sebagai kawasan bencana alam oleh Kerajaan Thailand.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 24/11/2025


- Advertisement -