
HARI INI genaplah 74 tahun PAS di medan operasi masyarakat dengan rangkuman sayapnya menjangkaui sektor siasah, dakwah dan tarbiah negara ini. Ironisnya, riuh geger Pilihan Raya Negeri Sabah dengan hentaman demi hentaman kepada PAS seolah-olah parti Islam ini pernah memerintah Sabah. Keberadaan PAS sangat dirasai oleh massa dalam tiga segmen ini malah inilah relevansi PAS sebagai pemain utama politik negara ini sebaris dengan gerakan Islam kontemporari Jamiat Islami, Ikhwanul Muslimin, HAMAS, an-Nahdah dan lain-lain.
PAS berada dalam liganya yang tersendiri malah menempa nama di persada antarabangsa meninggalkan gerakan Islam yang lain. Harakatul ummah ini melepasi tujuh dasawarsa, diberi peluang memerintah serta tetap setia dengan gerakan tajnid (perkaderan dakwah), juga sebagai gerakan massa yang membumi.
Gerakan Islam kontemporari tertua di negara ini juga sinonim dengan gerak kerja kebajikan, singgah di dalam hati masyarakat melalui kebajikan yang bersalut gerak kerja dakwah. Sosok pimpinan PAS sentiasa berada di lapangan kebajikan, menyantuni masyarakat tanpa menunggu tempoh pilihan raya ataupun menjadi pelakon sinetron khas apabila adanya pemilihan parti mahupun pilihan raya.
Diakui lawan dan kawan, dalam guratan wajah ceria atau cemberut, diakui bahawa harakatul ummah ini mempunyai organisasi yang tersusun, manhaj perkaderan yang sistematik, tarbiah nizomi yang berpakej lengkap dari pra sekolah sehinggalah ke peringkat pengajian tinggi.
PAS dengan lebih sejuta keahlian dan dua juta penyokong adalah aset PAS yang paling berharga. Mereka berdisiplin serta sanggup berkorban bagi mencapai aspirasi perjuangan Islam. Di mana-mana sahaja amilin PAS akan muncul jika berlaku bencana alam ataupun tragedi, bukan sahaja di dalam negara ini malah juga mengucur keringat di luar negara.
Mengapa PAS terus relevan kepada masyarakat jembel walaupun telah mencecah tujuh dekad umurnya? Jawapan yang jujur adalah kerana parti Islam tertua ini sinonim dengan kerja kebajikan dan kemasyarakatan, rakyat tersentuh dengan petugas PAS saat mereka dalam kesusahan. PAS saat menang atau kalah, terus mengarus perdanakan gerak kerja kebajikan dalam harakatul ummah ini. Maka, PAS terus diingati dalam minda sedar rakyat bahawa PAS ialah sekelompok manusia yang sentiasa muncul di saat kepayahan dan kejerihan.
Pimpinan serta amilin PAS hadir dengan senyuman bila berlakunya tragedi banjir, kebakaran, mengurus kematian, menyantuni sang miskin dan asnaf, membaiki premis dan rumah rakyat, memeriahkan kenduri, menziarahi yang uzur dan tenat, juga menyediakan tabung pendidikan untuk yang memerlukan. Biar seluruh sektor masyarakat meletakkan PAS dalam jenama kebajikan yang sangat piawai. Pimpinan PAS memacu usaha membantu rakyat, memposisikan diri sebagai tokoh kebajikan dan peduli umat.
PAS melalui sarana kebajikan memikul tanggungjawab yang besar akibat kehidupan rakyat semakin dijerut dengan kejerihan. Malah harakatul ummah ini sejak dekad 1960-an lagi telah mempunyai mekanisme untuk membantu umat; di peringkat ranting (kini dipanggil cawangan), tabung kebajikan bersifat one off diwujudkan bagi membantu ahli jemaah yang memerlukan. Ia merangkumi pengurusan jenazah untuk ahli juga tabung pendidikan tinggi untuk anak-anak ahli belajar di peringkat pengajian tinggi.
Rakyat secara umumnya menilai sesebuah parti politik melalui gerak kerja kebajikan dan tawaran kebajikan yang ditawarkan oleh sesebuah entiti politik. PAS cukup menonjol dalam arena dakwah dan pencerahan ilmu, puluhan ribu asatizah PAS menguasai masjid, surau serta pelbagai wadah ilmu. Begitu juga dalam bidang pendidikan, seterusnya menggilap lagi pengupayaan PAS dalam bidang kebajikan dan kemasyarakatan.
PAS telah jauh meninggalkan gerakan Islam antarabangsa yang lain, berdepan dengan pasang surut perjuangan, perpecahan dalaman, dimatangkan dengan mehnah sepanjang 74 tahun berjuang di lapangan.
PAS sebagai gerakan dakwah juga tarbiah memecahkan keterujaan pada kiblat Barat, the blue eyes mentality, dalam dekad 1950-an dan 1960-an. PAS menadah laba politik yang lumayan dalam era kebangkitan semula Islam dalam dekad 1970-an serta 1980-an.
Harakatul ummah ini mula berpencak pada medan aplikasi model mulai dekad 1990-an dengan menguasai semula Kelantan. Era milineal juga menyakinkan masyarakat negara ini apabila PAS menjadi gerakan paling berdisiplin, berstruktur, mempunyai amilin berkepakaran tinggi, didokongi gabungan agamawan, professional serta aktivis.
Insya-Allah, PAS sudah bersiap untuk mentadbir tanah watan ini setelah parti-parti lain gagal melunaskan amanah yang diberikan oleh rakyat.
DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 24/11/2025











