
GEORGE TOWN: Abidin Ismail (PN–Sungai Bakap) mengemukakan soalan berhubung status rundingan projek pengambilan air Sungai Perak dalam sesi soal jawab lisan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-15.
Abidin merujuk kepada memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada 6 November antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Perak mengenai penjualan lebihan air terawat dari Skim Bekalan Air Utara Perak (MPWSS) ke Pulau Pinang.
Beliau meminta kerajaan negeri memperincikan butiran MoU tersebut khususnya dari aspek teknikal, pembiayaan, kaedah pengedaran air, serta caj air yang dikenakan.
“Apakah perincian MoU tersebut dari aspek teknikal pembiyaan dan kaedah pengedaran air termasuk cas air yang dikenakan?” soal beliau dalam sesi tersebut minggu lalu.
Abidin turut mempersoalkan sejauh mana MoU berkenaan mampu menjamin kesinambungan bekalan air Pulau Pinang pada masa depan memandangkan Pulau Pinang hanya menerima ‘lebihan’ dari projek tersebut.
“Sejauh mana MoU ini menjamin bekalan air Pulau Pinang di masa depan kerana apa yang saya faham Pulau Pinang akan dapat lebihan dari projek tersebut,” ujar beliau.
Dalam soalan asalnya, Abidin meminta penjelasan mengenai perkembangan rundingan serta pelaksanaan projek bekalan air tersebut, yang dianggap kritikal bagi menjamin keperluan jangka panjang negeri.
Menjawab persoalan itu, Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari (PH–Tanjong Bunga) menjelaskan bahawa MoU tersebut melibatkan dua komponen caj utama.
“Berdasarkan MoU yang ditandatangani, terdapat apa yang dipanggil sebagai ‘variable charge’ RM1.70 per meter padu, bergantung kepada jumlah air yang dibeli,” jelasnya.
Selain caj berubah itu, terdapat juga fixed annual capacity charge bernilai RM210 juta setahun, yang menurut Zairil, adalah bagi menampung kos pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) berkapasiti 500 juta liter sehari (mld).
Beliau turut memaklumkan bahawa MoU tersebut menetapkan tempoh konsesi selama 40 tahun, dan selepas 20 tahun, pada tahun ke-21 perjanjian boleh dirunding semula termasuk dari segi harga.
Walaupun MoU tersebut digambarkan sebagai langkah ke hadapan, namun persoalan mengenai jaminan jangka panjang kekal menjadi kebimbangan kerana bekalan yang dijanjikan adalah berdasarkan lebihan dari projek air Perak. – HARAKAHDAILY 18/11/2025











