
GEORGE TOWN: Mohd Sobri Salleh (PN–Permatang Berangan) membangkitkan isu pencemaran najis babi dan bau busuk di Sungai Kreh yang berpunca daripada ladang ternakan babi di Kampung Selamat.
Beliau berkata, keadaan kini semakin membimbangkan rakyat hingga aduan daripada penduduk semakin meningkat, namun tindakan penyelesaian masih tidak kelihatan.
“Dalam Sidang DUN yang lalu, kerajaan memberi jaminan bahawa isu ini akan diselesaikan pada hujung penggal ini, tetapi sehingga hari ini belum ada tanda ia dapat diselesaikan,” tegasnya.
Menurut beliau, rakyat Permatang Berangan dan penduduk sepanjang Sungai Kreh berhak mengetahui perkembangan serta garis masa penyelesaian yang dijanjikan.
“Isu ini menjejaskan kehidupan mereka setiap hari. Tidak boleh dipandang sambil lewa. Sampai sekarang rakyat Kampung Selamat dan sekitarnya terus merasai pencemaran air sungai dan bau.
“(Masalah itu) yang amat mengganggu kehidupan seharian,” katanya ketika berucap dalam sesi perbahasan Bajet 2026 Negeri Pulau Pinang di Dewan Undangan Negeri semalam.
Mohd Sobri turut menyifatkan masalah pencemaran yang berlarutan ini sebagai gambaran kegagalan mengurus isu alam sekitar yang kritikal.
Sementara itu, Ketua Pembangkang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff (PN–Sungai Dua), turut menyentuh isu sama dalam perbahasannya dengan menggesa Ketua Menteri turun sendiri melihat keadaan Sungai Kreh yang didakwanya berada pada tahap membimbangkan.
“Teruk, tuan-tuan boleh pi tengoklah. CM (Ketua Menteri) boleh turun, maaf ya, kalau CM nak turun boleh mai, saya boleh tunggu di sana. Boleh tengok betapa teruknya sungai tu,” katanya.
Beliau menggambarkan keadaan sungai yang hitam pekat akibat pelepasan air sisa dari ladang ternakan.
“Tak tau nak habaq (kata) sampai hitam ayaq (air). Kenapa dia lepas (air sisa)? Masalahnya bukan bela babi. Bela babi ini biasalah bagi non-Muslim. Tapi pencemaran tu yang masalah,” tegasnya.
Ustaz Fauzi turut menggesa tindakan tegas diambil sekiranya pencemaran gagal dihentikan.
“Saya minta, selagi mana pencemaran itu kita nampak akan terus berlaku, eloklah kita sita buang kandang tu supaya tidak dibela babi di situ. Kalau tak boleh selesai juga, tutup kandang lah jawab dia. Buat apa kalau tak boleh selesai? Tutuplah jawabnya,” katanya.
Penduduk berharap kerajaan negeri bertindak segera sebelum keadaan menjadi lebih parah, kerana Sungai Kreh bukan sekadar laluan air tetapi nadi kehidupan komuniti sekitar yang semakin terhimpit oleh pencemaran yang berlarutan. – HARAKAHDAILY 18/11/2025











