RM15 juta Dana Istibdal tanah, tetapi apa statusnya?

- Advertisement -

GEORGE TOWN: Isu berkaitan status pembelian tanah oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menggunakan peruntukan RM15 juta pada tahun 2025 menjadi perhatian apabila ia dibangkitkan oleh Ustaz Mohd Yusni Mat Piah (PN–Penaga).

Beliau merujuk kepada hantaran di laman rasmi media sosial Dato’ Dr Mohamad Abdul Hamid (PH–Batu Maung) bertarikh 22 Julai, yang menyebut terdapat peruntukan RM15 juta bagi pembelian tanah di Daerah Barat Daya.

- Advertisement -

Menurutnya, beliau turut menerima maklumat mengenai tanah seluas 204,000 kaki persegi di Mukim 6 Pondoh Upih, Barat Daya, yang telah ditawarkan kepada MAINPP melalui satu surat bertarikh 11 Ogos, namun sehingga kini belum mendapat maklum balas.

“Surat itu telah berada di MAINPP selama tiga bulan. Soalan tambahan saya, adakah MAINPP boleh mempertimbangkan tawaran bagi membeli tanah tersebut pada nilai RM11.25 juta?

“Atau mempertimbangkan usaha sama dengan pemilik tanah supaya tanah itu kekal menjadi milik Bumiputera Muslim-Melayu Pulau Pinang?” soalnya dalam sesi soal jawab lisan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-15, minggu lalu.

Ustaz Mohd Yusni turut berharap agar pihak berwajib menilai pertimbangan munasabah memandangkan pemilik tanah telah membuat tawaran rasmi kepada MAINPP.

Mohd Yusni pada soalan asalnya bertanya kepada MAINPP apakah lokasi sebenar tanah yang dibeli atau dikenal pasti oleh MAINPP di Daerah Barat Daya menggunakan peruntukkan RM15 juta tahun 2025.

Beliau juga meminta MAINPP menyatakan jenis, keluasan dan mukim tanah dan apakah status urusniaga sama ada dimuktamadkan atau masih dalam rundingan dan objektif pembangunan tanah itu.

Menjawab persoalan tersebut, Dato’ Dr Mohamad Abdul Hamid (PH–Batu Maung) selaku Yang Dipertua MAINPP,  menegaskan bahawa sehingga kini, tiada sebarang tanah yang dikenal pasti, dirunding atau dimuktamadkan menggunakan peruntukan tersebut.

Beliau menjelaskan bahawa peruntukan RM15 juta itu berasal daripada dana istibdal, iaitu dana bagi mengganti tanah wakaf yang telah diambil alih kerajaan.

“Saya membuat pengumuman itu di Sekolah Pondok Upih bagi menggamit pemilik-pemilik tanah untuk membuat tawaran kepada MAINPP,” katanya.

Sidang DUN Pulau Pinang yang berlangsung dari 14 hingga 20 November 2025 turut menyaksikan pembentangan Bajet 2026 oleh Ketua Menteri Pulau Pinang.

Isu pembelian tanah wakaf dan pemilikan hartanah oleh Bumiputera Muslim dijangka terus menjadi perhatian dalam sesi-sesi berikutnya, khususnya membabitkan kedudukan sosio-ekonomi dan masa depan komuniti Islam di Pulau Pinang. – HARAKAHDAILY 18/11/2025

- Advertisement -