Terengganu menuju ke arah hab eksport hasil tani

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu merancang menjadikan negeri itu sebagai hab pengumpulan dan pengeksport hasil pertanian serta penternakan dalam usaha meningkatkan nilai ekonomi tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, kerajaan negeri kini sedang mempermudah urusan pelabur besar seperti McCormick untuk menggunakan serta menyewa fasiliti sedia ada termasuk pelabuhan bagi tujuan eksport.

- Advertisement -

Beliau berkata, kerajaan negeri juga melalui anak syarikat milik penuh, Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC), akan dijadikan pusat sehenti bagi pengumpulan, pemasaran dan seterusnya sebagai pengeksport hasil tani pada masa hadapan.

“Selain itu, kerajaan turut menyediakan pelbagai kemudahan kepada pemain industri tempatan seperti Kaprima Susu Kambing dan Koperasi Melon Manis Terengganu bagi membantu mereka meningkatkan kapasiti pengeluaran produk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi (PAS-Sura) pada pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini semalam.

Untuk rekod, TADC telah memohon peruntukan sebanyak RM93 juta daripada Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Ekonomi di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) bagi tahun 2026 untuk menubuhkan Pusat Fasiliti Agro Hijau Bersepadu (Integrated Green Agro Facilities) di Kawasan Perindustrian Telok Kalong, Kemaman.

Pusat berkenaan akan menempatkan beberapa kemudahan utama termasuk Pusat Transit dan Kuarantin Haiwan Ternakan, Pusat Pengumpulan dan Pembungkusan Hasil Tani, Gudang Penyimpanan Input Pertanian, Gudang Penyimpanan Produk Sejuk Beku, Bangunan Operasi dan Pemeriksaan, serta Sistem Integrasi Solar.

“Pusat ini bertujuan untuk menyediakan perkhidmatan bersepadu seperti yang dinyatakan di atas bagi menyokong rantaian bekalan pertanian dan penternakan negeri,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/11/2025

- Advertisement -