
KUALA LUMPUR: Salamiah Mohd Nor (PN- Temerloh), mempersoalkan keseriusan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam melaksanakan transformasi pendidikan apabila peruntukan untuk latihan guru dan pembangunan kurikulum didapati berkurangan dalam Belanjawan 2026.
Beliau membangkitkan kebimbangan itu ketika membahaskan Belanjawan 2026 Peringkat Jawatankuasa Kementerian Pendidikan di Dewan Rakyat, di sini kelmarin.
Salamiah menzahirkan rasa bimbang terhadap pengurangan peruntukan bagi latihan pra perkhidmatan dan latihan dalam perkhidmatan, yang disifatkannya sebagai langkah tidak wajar.
”Guru merupakan nadi kepada sistem pendidikan. Jika latihan dikurangkan, bagaimana guru dapat mempertingkatkan kemahiran mereka menghadapi perubahan pesat dalam dunia pendidikan digital, integrasi AI, dan pedagogi abad ke-21?” soalnya.
Beliau turut mempersoalkan sama ada guru-guru telah dilatih secukupnya mengenai teknik pengajaran ‘1 kelas 2 guru’ yang diperkenalkan baru-baru ini, dan sejauh mana keberkesanannya telah dikaji.
Selain itu, beliau turut menyorot pengurangan peruntukan bagi pembangunan kurikulum sebanyak 0.58 peratus.
”Mengapa berlaku pengurangan ini pada ketika sistem pendidikan negara sedang melalui fasa transformasi yang penting? Kita sedang bercakap tentang keperluan mengemas kini kurikulum pasca-pandemik, memperkukuh Sains Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan menyesuaikan kandungan pembelajaran dengan pasaran kerja semasa,” katanya.
Dalam isu kurikulum, Salamiah turut menggesa KPM memberi perhatian khusus kepada kerangka pendidikan Islam dan tahfiz untuk melahirkan generasi ‘yang bukan sahaja berilmu tetapi berakhlak, beradab dan beriman.’
Sementara itu, mengulas peningkatan 7.74 peratus bagi bahan pengajaran dan pembelajaran, beliau menuntut jaminan bahawa peruntukan itu sampai kepada sekolah di luar bandar dan pedalaman yang masih bergelut dengan kekurangan bahan dan capaian internet.
Beliau juga menggesa sistem pemantauan diwujudkan bagi mengelak pembaziran, seperti pembelian bahan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang akhirnya tidak digunakan oleh guru.
Salamiah turut mempersoalkan peningkatan besar 49.39 peratus bagi pendidikan prasekolah dan bertanya adakah prasekolah tahfiz di bawah seliaan KPM turut menikmati manfaat tersebut, selaras dengan permintaan tinggi ibu bapa terhadap asas pembentukan akhlak anak-anak.
Mengenai isu kuarters guru, beliau bertanya mengenai perancangan kerajaan terhadap kuarters guru yang terbiar di Temerloh dan seluruh negara, serta mencadangkan agar ia dimanfaatkan untuk golongan B40 jika tidak didiami.
Menyentuh keperluan di kawasannya, beliau turut menuntut perhatian KPM.
”Sekolah Menengah Temerloh Jaya memerlukan bengkel asas roti yang baru untuk 30 pelajar PPKI (Program Pendidikan Khas Integrasi). Keadaan bengkel sedia ada sempit, panas, dan tidak sesuai untuk pembelajaran,” jelasnya.
Beliau berharap agar peruntukan besar KPM sampai ke sasaran sebenar, iaitu guru, murid, dan sekolah, demi melahirkan generasi masa depan yang memiliki jati diri yang teguh. – HARAKAHDAILY 14/11/2025











