
KUALA LUMPUR: Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) menggesa kerajaan memberi penjelasan terperinci mengenai pelaksanaan kaedah ‘coaching’ dalam sistem pendidikan yang dijadual bermula pada tahun 2027.
Beliau berkata, walaupun pendekatan itu dilihat mampu mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih interaktif, pelbagai isu perlu diperjelaskan terlebih dahulu bagi mengelakkan kekeliruan dan beban tambahan kepada guru.
“Kaedah ‘coaching’ ini melibatkan seorang guru dan seorang pembantu guru mengajar secara serentak dalam satu kelas, termasuk bagi beberapa subjek seperti Matematik dan Bahasa Inggeris. Tujuannya untuk menjadikan proses pembelajaran lebih menarik dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika pada sesi perbahasan Belanjawan 2026 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pendidikan di Dewan Rakyat, di sini kelmarin.
Namun katanya, kerajaan perlu menjelaskan beberapa perkara asas termasuk pengagihan tanggungjawab antara guru dan pembantu guru dalam kelas yang sama.
“Kerajaan perlu menjelaskan peranan masing-masing supaya tidak timbul kekeliruan. Selain itu, perlu juga dilihat perbezaan pengalaman antara guru dan pembantu guru kerana jika tidak diseragamkan, ia boleh memberi kesan negatif kepada pelajar,” katanya.
Menurut beliau, isu jumlah pembantu guru bagi setiap sekolah turut perlu dipertimbangkan memandangkan saiz kelas berbeza antara sekolah bandar dan luar bandar.
“Sekolah di bandar mungkin mempunyai sehingga 45 murid sekelas, manakala sekolah luar bandar hanya sekitar 25 murid. Ini perlu diambil kira bagi memastikan pelaksanaan kaedah coaching berjalan dengan adil dan berkesan,” katanya.
Idris turut menzahirkan kebimbangan terhadap kaedah baharu itu yang berpotensi menambah beban kerja guru yang ketika ini sudah terbeban dengan pelbagai tugasan.
“Hari ini guru-guru sudah pun mengalami tekanan kerja yang tinggi. Saya tahu kerana isteri saya sendiri seorang guru dan akhirnya memilih untuk bersara awal,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/11/2025











