Kurikulum Sejarah, jurang sekolah luar bandar perlu diteliti

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) menegaskan bahawa kurikulum pendidikan negara perlu dikaji semula dengan lebih teliti, khususnya dalam aspek pembangunan subjek Sejarah yang membentuk jati diri dan identiti kebangsaan.

Menurutnya, peruntukan pembangunan kurikulum menunjukkan penurunan ketara, daripada RM196.3 juta pada tahun 2025 kepada RM80.1 juta sahaja pada tahun 2026.

- Advertisement -

“Saya merujuk kepada program pembangunan kurikulum yang menunjukkan penurunan besar. Hal ini menimbulkan persoalan sejauh mana komitmen kerajaan untuk memperkukuhkan kandungan dan sistem pendidikan negara,” ujarnya.

Beliau turut menekankan bahawa subjek Sejarah tidak wajar dilihat sekadar pelengkap akademik, tetapi sebagai teras pembinaan naratif kebangsaan.

“Kita berbicara soal sejarah Kedah dan Pulau Pinang, yang dibangkitkan juga oleh sahabat daripada Jelutong dan sebagainya. Namun, yang lebih penting ialah setiap kajian sejarah itu perlu dilakukan dengan teliti dan berasaskan sumber yang sahih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2026 Peringkat Jawatankuasa Kementerian Pendidikan di Dewan Rakyat Parlimen, di sini kelmarin.

Ustaz Ahmad Tarmizi menambah, asas-asas sejarah negara masih terbuka untuk penilaian semula, dan sebarang pembetulan atau penstrukturan semula wajar dilakukan dengan penuh tanggungjawab supaya tidak mengubah naratif kebangsaan yang sebenar.

Beliau menyeru agar Kementerian Pendidikan meneliti semula pendekatan pembangunan kurikulum, terutama dalam memastikan sejarah tempatan dan nasional diajar secara seimbang serta memperkukuh jati diri pelajar terhadap warisan dan perjuangan bangsa.

Ahmad Tarmizi juga menzahirkan kebimbangan terhadap pengurangan peruntukan pembangunan infrastruktur pendidikan dalam Bajet 2026 yang menurutnya boleh menjejaskan usaha merapatkan jurang pendidikan antara sekolah di bandar dan luar bandar.

Menurutnya, peruntukan pembangunan infrastruktur mencatatkan penurunan daripada RM24.6 juta pada 2025 kepada RM23.3 juta bagi tahun 2026, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada jumlah tersebut benar-benar mencukupi untuk menampung keperluan sekolah di kawasan luar bandar serta pedalaman, khususnya di daerah Sebaling dan Sik, selain di Sabah dan Sarawak.

“Masih banyak sekolah daif yang memerlukan perhatian khusus daripada pihak Kementerian, termasuk kekurangan kemudahan asas seperti makmal sains, tandas yang bersih, makmal komputer dan capaian internet yang stabil,” ujarnya.

Ahmad Tarmizi memetik laporan bahawa sehingga Januari 2023, Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengenal pasti kira-kira 830 buah sekolah di seluruh negara yang mempunyai blok bangunan daif pada skala 6 dan 7 yang memerlukan pembangunan semula.

Di Sabah dan Sarawak pula, sehingga tahun 2024, terdapat 1,069 buah sekolah daif dikenal pasti, namun hanya 693 daripadanya telah dibaik pulih.

“Masih ramai pelajar di luar bandar dan pedalaman belajar dalam bangunan usang, bumbung bocor, bekalan elektrik tidak stabil serta capaian internet yang terhad. Ini menjadikan usaha mewujudkan persekitaran pembelajaran kondusif amat mencabar,” katanya.

Ustaz Ahmad Tarmizi turut membangkitkan ketidakseimbangan ketara apabila sekolah-sekolah elit di bandar seperti Sekolah Berasrama Penuh (SBP) terus menikmati fasiliti moden dan lengkap, sedangkan sekolah di luar bandar masih ketinggalan jauh.

“Akibatnya berlaku jurang pencapaian murid dari segi merit dan keupayaan akademik antara pelajar bandar dan luar bandar,” tegas beliau.

Sehubungan itu, beliau mendesak Kementerian Pendidikan agar memperincikan langkah konkrit yang sedang atau akan diambil bagi memastikan keadilan pendidikan benar-benar dapat dicapai, termasuk pelan menyeluruh untuk merapatkan jurang infrastruktur pendidikan antara sekolah bandar, luar bandar dan pedalaman di seluruh negara.

“Isu ini bukan sekadar soal bangunan, tetapi soal masa depan anak bangsa,” tegasnya lagi. – HARAKAHDAILY 14/11/2025

- Advertisement -