
KUALA TERENGGANU: Pembinaan Hospital Marang kini berada dalam perancangan jangka panjang Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) di bawah Rancangan Malaysia Ke-14 (RMK14) Rancangan Pelaksanaan Ke-5 (RP5), sebagai salah satu inisiatif strategik untuk meningkatkan kapasiti perkhidmatan perubatan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, hospital berkenaan antara projek pembangunan yang perlu diberi keutamaan dalam perancangan fasiliti kesihatan JKNT.
“Keutamaan ini berpaksikan kepada keperluan yang perlu diberikan perhatian untuk mengurangkan isu kepadatan pesakit dan kesesakan perkhidmatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di samping mengurangkan tahap kebergantungan daerah Marang terhadap hospital negeri bagi rawatan kepakaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi Penggulungan Ucapan Belanjawan Terengganu 2026 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-15, di Wisma Darul Iman, di sini kelmarin.
Menurut beliau, tapak cadangan bagi projek itu terletak di Mukim Bukit Payung, dengan keluasan 30.44 hektar (75.21 ekar) di mana tapak cadangan projek ini adalah kawasan kosong dan tiada halangan fizikal di tapak, selain topografi tapak ini adalah berbukit bukau dan berhampiran dengan jalan yang menghubungkan Jalan Negeri T171 dan T104.
“Jarak dari Pekan Bukit Payung ke tapak projek ialah 6 kilometer, manakala dari bandar Marang kira-kira 15.2 kilometer,” jelasnya turut menambah bahawa antara aspek teknikal yang perlu diberi perhatian ialah penstabilan cerun, penggalian batuan keras dan pemotongan bukit bagi menyediakan platform sesuai untuk pembinaan hospital tersebut.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong (PAS) menggesa kerajaan negeri menjadikan pembinaan Hospital Daerah Marang sebagai projek keutamaan dalam permohonan kepada kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata, Marang kini satu-satunya daerah di Terengganu yang masih belum mempunyai hospital sendiri, menyebabkan penduduk perlu ke daerah berhampiran untuk mendapatkan rawatan. – HARAKAHDAILY 14/11/2025











