ECRL: Unjuran KDNK capai RM48.2b menjelang 2040

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka memberi lonjakan besar kepada ekonomi Terengganu dengan unjuran Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri meningkat daripada RM34 bilion pada tahun 2020 kepada RM48.2 bilion menjelang 2040.

Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, unjuran itu berdasarkan Kajian Pelan Induk Bersepadu Guna Tanah (PeGTa) Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) oleh PlanMalaysia yang menganggarkan pertumbuhan purata tahunan sekitar 1.8 peratus.

Menurut beliau, kesan ekonomi tersebut merangkumi impak langsung dan tidak langsung hasil aktiviti pembinaan serta operasi ECRL termasuk peningkatan pelaburan sektor perindustrian dan logistik.

- Advertisement -

Juga katanya, terhadap pertumbuhan perdagangan dan pelancongan, serta pembangunan berorientasikan transit (Transit-Oriented Development, TOD) di sekitar kawasan stesen utama.

“Enam stesen di negeri ini iaitu Jerteh, Bandar Permaisuri, Kuala Terengganu, Dungun, Kemasik dan Chukai dikenal pasti berpotensi untuk pembangunan TOD yang mampu mewujudkan pusat pertumbuhan ekonomi baharu,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Negeri itu menjawab soalan Dr Mamad Puteh (PAS-Kuala Berang) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, kelmarin.

Nurkhuzaini berkata, pelaksanaan projek rel sepanjang 665 kilometer bukan sahaja akan memperkukuh rangkain pengangkutan serantau, tetapi juga berpotensi menjadi pemangkin utama kepada pembangunan ekonomi negeri.

Katanya, projek mega yang menghubungkan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor berupaya membuka peluang pekerjaan baharu, merancakkan aktiviti pelancongan dan memperkukuh daya saing ekonomi negeri.

“Projek ECRL merupakan projek mega yang bakal menjadi tulang belakang jaringan pengangkutan awam dan perkhidmatan kargo negara.

“Pelaksanaannya dijangka merancakkan pertumbuhan ekonomi Terengganu melalui peningkatan aktiviti perniagaan, pelaburan dan peluang pekerjaan, selain mempercepatkan mobiliti barangan dan perkhidmatan di negeri ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 14/11/2025

- Advertisement -