DAP bimbang usaha ‘penghapusan etnik’ Melayu tergendala

Kedaulatan sebenar Pulau Pinang di bawah hak milik Kedah

- Advertisement -

ALOR SETAR: Isu pajakan Pulau Pinang yang dikemukakan oleh Kerajaan Negeri Kedah adalah jelas, malah nilai pampasan terhadap pengambilan sumber air mentah daripada Sungai Ulu Muda juga wajar adakan semakan dan timbal balik.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Ahmad Yahaya berkata, sekiranya pemimpin ataupun wakil rakyat DAP menyebutkan berkenaan kedaulatan Pulau Pinang, mereka juga tidak boleh menolak, Kedah juga mempunyai kedaulatannya sendiri.

“Saya telah bahaskan perkara ini, dalam Dewan Rakyat pada Februari 2023 lalu, bahawa kedaulatan sebenar Pulau Pinang adalah di bawah hak milik Negeri Kedah. Jadi, mengapa Kedah seolah-olah ditindas haknya selama ini?” soal beliau.

- Advertisement -

Malah ujarnya, perkara itu juga sekali lagi disebut oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika pembentangan Bajet Kedah 2026, Isnin lalu serta bersedia dengan pasukan peguam untuk mengambil langkah seterusnya berhubung hal tersebut.

Dalam isu pajakan Pulau Pinang ini, tuntutan Kedah tegasnya, adalah bertepatan dengan Perkara 167(7) Perlembagaan Persekutuan.

Di mana Persekutuan hendaklah membuat pembayaran tahunan sebagaimana yang telah dilakukan sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan, di bawah Perkara II Triti yang dimeterai pada 6 Mei 1869 antara Baginda Ratu dengan satu pihak Raja Siam berkenaan dengan Negeri Kedah ini.

“Pajakan Pulau Pinang yang diterima oleh Kedah hari ini iaitu sebanyak RM10,000 adalah pemberian wajib Persekutuan kepada negeri dan tambahan RM10 juta lagi bersifat pentadbiran.

“Dalam tempoh lebih daripada 150 tahun ini, tiada semakan dibuat terhadap nilai pembayaran pajakan ini. Apabila Kedah menyuarakan tentang hasrat ini, mereka (pemimpin DAP) cuma mengangkat alasan Pulau Pinang kononnya sebuah negeri yang berdaulat,” bidas beliau lagi.

Mengulas lanjut, Dato’ Ahmad berkata, dokumentasi sejarah yang ditulis oleh sarjana R. Bonney bertajuk “Kedah 1771-1821: The Search for Security and Independence” telah menghuraikan perkara ini dengan lebih cermat.

Melalui dokumentasi itu, katanya lagi, boleh diambil kesimpulan bahawa pengambilalihan Francis Light dan Syarikat Hindia Timur terhadap Pulau Pinang pada 1786 adalah tidak sah.

Malah, pendudukan Francis Light di Pulau Pinang juga ketika itu, telah melanggar undang-undang antarabangsa dan dianggap membohongi Tuanku Sultan Abdullah ketika itu.

“Adakah hari ini mereka masih mahu bercakap soal kedaulatan? Bagaimana pula dengan kajian R. Bonney bahawa pendudukan Francis Light di Pulau Pinang sebagai tidak sah dan meletakkan kedudukan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang masih di bawah kedaulatan Negeri Kedah?” soal beliau lagi.

Beliau juga menegaskan, langkah proaktif yang diambil oleh Kedah bersama kajian menyeluruh adalah semata-mata untuk menentusahkan kedaulatan sebenar Pulau Pinang.

“Namun persoalannya, mengapa pemimpin DAP merasa begitu takut. Adakah katanya, mereka bimbang usaha ‘penghapusan etnik’ Melayu di Pulau Pinang akan tergendala jika Kedah mengambil langkah yang lebih drastik.

“Pada titah Tuanku Sultan Kedah sempena Hari Keputeraan Baginda ke-81, baru-baru ini, baginda menyebut isu pajakan  Pulau Pinang perlu diperjelaskan secara terang berlandaskan fakta dan tanpa prejudis.

“(Dan) dengan terbentuknya Malaysia, tidaklah menjadi titik yang membenarkan sejarah negeri yang telah wujud sejak sekian lama terpadam,” kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu lagi.

Berikutan itu tegasnya, PAS Kedah tetap komited menyokong langkah Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berhubung hal tersebut dan sesekali tidak akan berundur dengan keputusan yang telah diambil. – HARAKAHDAILY 14/11/2025

- Advertisement -