
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri akan menyita semua aset dan ladang milik Felda Global Ventures (FGV) sekiranya FELDA gagal menyelesaikan isu bayaran penggunaan tanah kerajaan seluas 15,000 hektar menjelang 29 November ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, tindakan itu diambil selepas Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) gagal memberikan sebarang naklum balas.
Jelas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, ia berkaitan tuntutan kerajaan negeri untuk perkongsian keuntungan hasil sebanyak 30 peratus daripada hasil kasar (gross profit) ladang sawit berkenaan.
“Kita tegaskan kita tidak berganjak dengan tarikh 40 hari yang bakal berakhir pada 29 November, FELDA mesti buat apa sahaja dan kita hanya bersedia untuk berjumpa dan bermesyuarat kembali kalau mereka bersedia dengan angka.
“Kalau sekadar mesyuarat untuk pusing-pusing tempat sama, ia tidak memberi sebarang makna. Dari 14 Oktober, sehingga sekarang ini, FELDA gagal memberikan sebarang respon dan beberapa cubaan untuk menghubungi mereka daripada juga tidak berbalas.
“Ini menyebabkan pada 10 November, kita telah panggil satu mesyuarat untuk penyelarasan penguatkuasaan yang dihadiri oleh Penasihat Undang-undang Negeri, Pengarah PPG, Pengarah UPEN, Pegawai-pegawai Daerah di empat daerah yang terlibat.
“Setiu, Marang, Dungun dan juga Kemaman, termasuk juga pihak PDRM dan pegawai-pegawai yang berkaitan. Maknanya kerajaan negeri sama sekali tidak berganjak dengan tarikh 29 November ini yang kita tuntut secara serentak pada pagi itu.
“Kita akan bagi notis 425 pencerobohan tanah kerajaan. Hakikatnya tanah ini ialah tanah kita. Tanah yang telah diambil manfaat oleh Felda selama 40 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Sidang Dewan Undangan Negeri, di Wisma Darul Iman, di sini baru-baru ini.
Azman juga berkata, tindakan itu menuntut kembali hasil negeri yang dianggarkan hilang sebanyak RM670 juta sepanjang lebih 40 tahun tanah tersebut dimanfaatkan oleh Felda tanpa penyelesaian rasmi.
“Tindakan kita seterusnya ialah Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri telah bersedia dengan dokumen untuk mengemukakan saman sivil. Melalui saman ini, kita akan menuntut semua hak dan perundingan yang telah dibuat sepanjang tempoh 40 tahun.
“Saman sivil ini merupakan langkah terakhir selepas isu notis diselesaikan. Selain itu, kita akan sita aset-aset dan semua yang ada,” tegasnya.
Untuk rekod, tanah berkenaan yang diusahakan FELDA sejak 1985 melibatkan kawasan seluas 14,791 hektar, termasuk Ladang Global Ventures (FGV) Setiu 1 seluas 1,742 hektar.
Tanah itu telah melalui proses tanam semula dan diusahakan tanpa sebarang bayaran premium, cukai tanah atau perkongsian keuntungan kepada kerajaan negeri. – HARAKAHDAILY 14/11/2025











