
PEMUDA PAS Selangor menyambut baik maklum balas oleh Ahli Dewan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron daripada blok Kerajaan Negeri Selangor terhadap sidang media yang dilakukan oleh Pemuda PAS Selangor pada hari semalam.
Dukacita ingin kami memaklumkan bahawa beliau telah gagal memahami isu pokok yang dibangkitkan oleh Pemuda PAS Selangor. Lebih sedih dan menghibakan lagi, ADUN Batu Tiga telah terkhilaf menyangka bahawa kami sedang mengkritik Bajet Selangor 2026 yang masih belum dibentangkan. Hakikatnya, perbincangan dan kritikan yang dibawa oleh kami adalah berkenaan Rancangan Selangor 1 (RS1) dan Bajet Selangor sebelum ini.
ADUN Batu Tiga mendakwa Pemuda PAS Selangor ‘manipulasi data’ dalam sidang media tersebut. Sukacita kami ingin mengambil perhatian pihak ADUN Batu Tiga bahawa data tidak pernah menipu, bahkan biasanya manusia yang suka menipu khususnya ketika memberikan janji bulan dan bintang kepada rakyat ketika musim pilihan raya. Kami yakin yakin ADUN Batu Tiga pasti lagi arif siapakah penipu paling besar di negara kita ini.
Dalam isu Indeks Kesejahteraan Sosial, ADUN Batu Tiga mendakwa, ‘Penurunan kadar pertumbuhan adalah fenomena nasional pasca-pandemik’. Kami ingin menasihati ADUN Batu Tiga untuk buat _‘homework’_ dan rajin-rajin membaca data. Menurut DOSM, pada tahun 2021 Negeri Selangor telah mencatatkan lonjakan peningkatan bagi kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 2.1 peratus.
Ini bermakna Negeri kita telah bangkit dengan baik pasca-pandemik. Isu pokok yang kami bangkitkan di sini ialah, mengapa selepas berlaku kenaikan pada tahun 2021, negeri mencatatkan penurunan pada kadar pertumbuhan tahunan yang membimbangkan kepada 0.7 peratus? Adakah negeri Selangor sedang menuju kepada arah yang tepat?
ADUN Batu Tiga juga mendakwa, ‘Pemuda PAS memilih untuk menonjolkan hanya dua subkomponen (keselamatan dan kesihatan)’. Adakah ini bermakna 2 subkomponen (keselamatan dan kesihatan) tidak penting bagi pihak Kerajaan Negeri Selangor pada hari ini?
Bagi kami Pemuda PAS, kesemua 9 subkomponen dalam Indeks Kesejahteraan Sosial amat penting bagi rakyat negeri Selangor. Isu keselamatan awam dan kesihatan rakyat Selangor adalah amat penting dan mesti diberi perhatian oleh pihak kerajaan. Antara indikator utama kepada subkomponen Keselamatan Awam ialah Kadar Jenayah dan Bilangan Kemalangan Jalan Raya di Negeri Selangor, manakala bagi subkomponen kesihatan pula antara indikatornya ialah kadar kematian ibu bersalin, kadar kematian bayi, nisbah doktor kepada penduduk, dan bilangan katil di hospital.
Kesemua isu ini adalah amat penting dan sekiranya kita tidak beri perhatian pasti akan menjejaskan kehidupan sosial rakyat di negeri Selangor. Apa makna negeri kita kaya, tapi rakyatnya tidak sejahtera?
Walaupun ADUN Batu Tiga menyenaraikan program-program yang telah dilaksanakan dan sebahagian besarnya dirangka ketika PAS berada dalam Kerajaan Selangor satu ketika dahulu, namun data menunjukkan Kerajaan negeri tidak cekap dalam melaksanakan program-program ini sehingga memberi kesan kepada kesejahteraan hidup rakyat.
Kami amat kecewa apabila ADUN Batu Tiga hilang pertimbangan sehingga gagal memahami isi kandungan dan isu pokok yang dibangkitkan oleh Pemuda PAS, bersifat defensif dan tidak fokus untuk sama-sama kita menyelesaikan isu rakyat di negeri Selangor.
Kami berdoa agar Dato’ Seri Menteri Besar Selangor mengambil perhatian kepada isu-isu yang dbangkitkan ini dan harap tidak ramai ADUN-ADUN daripada blok kerajaan yang mengambil sikap dan pendirian politik sempit seperti Batu Tiga ini.
Sekian.
MUHAMMAD FAIZZUDIN MOHD ZAI
Naib Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Selangor – HARAKAHDAILY 14/11/2025











