DUN Terengganu luluskan RUU Mahkamah Syariah

- Advertisement -

DEWAN Undangan Negeri Terengganu hari ini meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah (Terengganu) 2025, menandakan reformasi terbesar dalam sejarah kehakiman Syariah negeri.

Kelulusan ini membuka fasa baharu pentadbiran Mahkamah Syariah yang lebih moden, tersusun dan selari dengan keperluan rakyat serta perkembangan teknologi semasa.

Rang undang-undang ini menggantikan Enakmen Mahkamah Syariah 2001 yang telah lebih dua dekad berkuat kuasa tanpa pindaan, seterusnya memastikan kerangka undang-undang Syariah negeri kekal relevan dan komprehensif.

- Advertisement -

Pindaan ini menzahirkan titah Sultan Terengganu melalui penubuhan Mahkamah Utama Syariah sebagai peringkat tertinggi kehakiman, bagi meningkatkan ketegasan, kepastian dan integriti keputusan-keputusan Syariah.

Penyusunan semula kandungan undang-undang daripada empat kepada sembilan bahagian serta daripada 27 kepada 54 seksyen memberi struktur yang lebih lengkap, sistematik dan mudah dirujuk oleh rakyat, pegawai kehakiman dan peguam.

Penubuhan Mahkamah Utama Syariah dan Jawatankuasa Kehakiman Syariah memperkukuh profesionalisme institusi kehakiman melalui proses pelantikan Hakim yang lebih tersusun, telus dan berintegriti.

Peningkatan had tuntutan daripada RM100,000 kepada RM300,000 telah meluaskan bidang kuasa mal Mahkamah Rendah Syariah, sekali gus memberi manfaat langsung kepada masyarakat dalam mengemukakan tuntutan kes dengan lebih cepat, teratur dan kos efektif.

Pengukuhan bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah dalam urusan penjagaan keluarga, jagaan serta pengurusan harta individu tidak berupaya memberi perlindungan lebih baik kepada golongan rentan dalam masyarakat.

Pengenalan peruntukan pengangkatan, prosiding jarak jauh, e-filing serta e-service meningkatkan kecekapan operasi mahkamah, memudahkan urusan rakyat dan mengurangkan kos serta masa yang diperlukan dalam proses perundangan.

Bidang kuasa Mahkamah Tinggi turut diperluas bagi membolehkan mahkamah memberi kebenaran serta mendengar permohonan _‘muraja’ah’_ ke atas keputusan, tindakan atau peninggalan oleh mana-mana orang atau badan yang menjalankan fungsi di bawah undang-undang yang terletak dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah. Perluasan ini memperkukuh mekanisme semak dan imbang dalam ekosistem kehakiman Syariah negeri.

Kerajaan Negeri Terengganu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu, Jabatan Pendakwaan Syariah, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Bahagian Undang-undang Negeri, panel perundangan, para hakim, pegawai syarie, pendakwa, penasihat undang-undang serta semua pihak teknikal dan pentadbiran yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam penyediaan, penelitian dan penambahbaikan rang undang-undang ini sehingga berjaya diluluskan pada hari bersejarah ini.

DR USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu – HARAKAHDAILY 14/11/2025

- Advertisement -