
KOTA BHARU: Ustaz Mohd Asri Mat Daud menegaskan bahawa pelajar pondok di negeri ini mempunyai semangat cintakan tanah air yang tinggi dan tidak wajar dianggap rendah sebagaimana dilaporkan sebelum ini.
Beliau berkata, laporan _Sinar Harian_ berhubung kenyataan Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) Pejabat Perdana Menteri Kelantan mengenai tahap kecintaan terhadap tanah air dalam kalangan pelajar pondok di negeri itu adalah isu tabu yang merentang sejarah.
Menurutnya, indikator rendah yang dilaporkan adalah berdasarkan pelaksanaan program turun padang kerajaan, sedangkan asas penilaian dibuat hanya kerana pelajar pondok tidak terdedah kepada program kenegaraan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Dengan mengungkapkan keputusan tahap rendah secara tangkap muat hanya kerana tidak mengikuti acuan program Kerajaan Persekutuan tanpa melihat secara mendalam?
“(Terutama) terhadap silibus teras, program dan aktiviti yang dijalankan di pondok dengan terma ‘hubbul watan’ yang lebih mendasar. Itu sesuatu yang mendukacitakan dan tersasar,” ujar beliau.
Menurutnya, pondok di Kelantan mewarisi sejarah silibus turath yang panjang dan bersambung daripada ulama terdahulu serta digabungkan dengan aliran moden mengikut keperluan semasa.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri itu berkata, sejarah pondok di Kelantan sarat dengan kegemilangan yang memberikan nilai signifikan terhadap kemerdekaan Tanah Melayu.
“Penglibatan ulama pondok dalam membawa idea kemerdekaan dan penentangan terhadap penjajah bukan bersifat rahsia. Perjuangan mereka atas ketinggian ilmu yang diajar dan diamalkan.
“Mereka membawa kepada utuhnya jati diri cintakan negara dan tanah air serta ia masih kekal hingga ke hari ini,” ujarnya yang juga Ketua Penerangan PAS Negeri Kelantan.
Tambah beliau, generasi pondok hari ini kekal dengan aliran ilmu tradisional, menyanggah penjajahan moden dan menyuburkan semangat cintakan negara melalui pengajian secara langsung atau tidak langsung.
“Melalui pendekatan tarbiah, tradisi talaqqi secara tidak langsung menerapkan nilai kefahaman yang mendalam terhadap kedaulatan negara termasuk nilai kenegaraan dan prinsip Rukun Negara.
”Cuma ianya disusun mengikut kesesuaian watak dan aliran pengajian para pelajar secara lebih cermat. Tidak seperti pelajar aliran perdana yang lebih bebas dan terbuka,” ulasnya.
Mohd Asri berkata, kerajaan negeri memandang serius terhadap dakwaan yang ditularkan tanpa asas terhadap pelajar pondok di Kelantan.
Katanya, pelbagai program telah disusun oleh kerajaan negeri termasuk Pusat Pembangunan Pondok Berhad bagi memperkukuh kefahaman kenegaraan melalui silibus pengajian dan aktiviti bersesuaian.
“Sesetengah pondok mengadakan daurah sejarah kegemilangan ulama pondok yang menyemarakkan penentangan terhadap penjajah dan cintakan kemerdekaan negara bagi mengekalkan semangat juang ‘hubbul watan’,” jelasnya.
Menurut beliau, sejarah tidak pernah menipu dan tidak boleh ditafsirkan secara tidak bertanggungjawab.
“Untuk menilai rendah tahap nilai kecintaan terhadap negara hanya kerana tidak mengikuti program kenegaraan tanpa melihat secara keseluruhan adalah tidak bertepatan dengan situasi dan kondisi pondok.
“Acuan tradisi yang diajarkan di pondok adalah dalam kerangka keaslian turath yang diadun dengan kemodenan mengikut kesesuaian pelajar tanpa mengenepikan teras “hubbul watan’” katanya. — HARAKAHDAILY 13/11/2025











