
PUTRAJAYA: Gabungan 34 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini menyerahkan memorandum bantahan terhadap kelulusan perlembagaan baharu DAP kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), berikutan percanggahan dengan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832).
Memorandum berkenaan diserahkan oleh Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Datuk Syed Hasan Syed Ali mewakili gabungan 34 NGO kepada Pengarah Bahagian Pengurusan Pertubuhan, Nur Azrahani Azmi.
Ia turut disertai Presiden Pertubuhan Negarawati Tanahair, Bibi Sunita Sakandar Khan dan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa serta wakil-wakil NGO yang lain.
Mohd Zai berkata, memorandum itu adalah bantahan rasmi terhadap tindakan ROS meluluskan Perlembagaan DAP yang mempunyai beberapa terma bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Hari ini kita nak serah satu memorandum berkaitan dengan bantahan kita terhadap ROS kerana telah meluluskan Perlembagaan DAP yang kita lihat melalui semakan peguam kita ada beberapa terma perkara yang dilihat tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Jadi minta nanti ROS buat semakan semula sama ada perkara itu salah, tidak salah secara official atau bertulis,” ujarnya di hadapan pintu masuk pekarangan Ibu Pejabat ROS untuk serahan memorandum berkenaan, di sini hari ini.
Sementara itu, Syed Hasan berkata, gabungan NGO berkenaan mewakili lebih 300 pertubuhan di bawah Sekretariat Penyatuan Ummah, Sekretariat Melayu Berdaulat serta Majlis Penyelaras NGO-NGO Melayu, yang menurutnya mewakili lebih dua hingga tiga juta rakyat Melayu di seluruh negara.
Menurutnya, isi kandungan Perlembagaan DAP yang diluluskan itu didapati bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan dan boleh menjejaskan kepentingan orang Melayu serta Islam di negara ini.
“Kita minta pihak ROS mengkaji semula, memberi amaran supaya perlembagaan itu diubah, dipinda atau dibatalkan sekiranya bercanggah dengan undang-undang negara.
“Kalau kita mohon pendaftaran baru, kalau kita buat bunga raya sebagai logo, oh tak boleh ni dah negara punya. Tapi dia (DAP) buat satu perlembagaan yang bertentangan dengan negara. Tak boleh juga kan?
“Jadi itu yang kita tekankan supaya kita akan hidup harmoni dalam negara. Sebab kita lihat makin hari makin hari keceluparan pemimpin-pemimpin dia memang ke arah untuk menuju kepada sebuah negara sama rata yang menyingkirkan kepentingan orang Melayu dan Islam,” tegasnya.
Dalam pada itu, Bibi Sunita ketika membacakan kandungan memorandum berkenaan berkata, dokumen itu bertajuk ‘Pelanggaran Perlembagaan oleh DAP terhadap Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pertubuhan 1966 serta tuntutan tindakan dan penjelasan rasmi daripada ROS’.
Beliau menjelaskan, berdasarkan Seksyen 2A(1) Akta Pertubuhan 1966, ROS wajib menolak pendaftaran mana-mana pertubuhan jika tujuan atau aktivitinya menyalahi undang-undang, bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, membahayakan keselamatan awam atau menjejaskan kepentingan negara.
“Perlembagaan Persekutuan adalah mercu panduan yang menentukan bentuk negara, agama, budaya dan sistem pemerintahan sejak merdeka.
“Antaranya Islam sebagai agama Persekutuan (Perkara 3), kedudukan istimewa Bumiputera (Perkara 153 dan 154), Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan (Perkara 152), serta institusi Raja-raja Melayu sebagai payung kedaulatan negara (Perkara 32 dan 38),” jelasnya.
Menurutnya, gerakan dan dasar tertentu dalam DAP dilihat melanggar asas-asas utama tersebut, selain kandungan perlembagaannya di laman sesawang parti itu tidak selaras antara versi Bahasa Inggeris dan terjemahan lain.
“Jadi ini jelas dan kita lihat juga dalam website DAP ada empat versi. Bila empat versi ini Malaysian-Malaysia dalam bahasa Inggeris tetapi telah diterjemahkan kepada bahasa yang kita tidak faham.
“Jadi kita melihat ini perlunya ada satu tindakan jelas. dan ini telah lama berlaku. Dan kalau ini dijadikan perkara yang dibolehkan kepada pertubuhan yang didaftarkan di bawah ROS, bermakna pertubuhan-pertubuhan lain juga akan mengikut, ia menjadi ‘precedent’ (duluan).
“Jadi kita tidak mahu. Ini perlu diberikan tindakan segera. Kita meminta ROS untuk meneliti semula kerana banyak melibatkan perkara, empat-empat perkara yang saya sebutkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/11/2025












