Sokong tindakan perundangan isu Pulau Pinang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR:  Semua Ahli Parlimen Negeri Kedah menyatakan sokongan penuh terhadap langkah Kerajaan Negeri pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung isu kedudukan Pulau Pinang dengan negeri Kedah serta hubungan keduanya.

- Advertisement -

Menurut kenyataan bersama mereka, tindakan kerajaan negeri berasaskan lunas perundangan dan berpaksikan kajian sejarah yang telah disempurnakan sebelum ini.

Langkah melantik peguam bagi mengemukakan kedudukan sebenar pajakan Pulau Pinang di hadapan mahkamah disifatkan sebagai langkah bertanggungjawab dan wajar dihormati oleh semua pihak.

Mereka turut mengingatkan bahawa titah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah sempena Hari Keputeraan Baginda ke-81 tahun 2023 telah memperjelas bahawa status pajakan Pulau Pinang perlu dijelaskan secara terang berdasarkan fakta dan tanpa prejudis.

“Kerajaan Negeri Kedah tidak berniat mencabar kedaulatan Negeri Pulau Pinang seperti yang digembar-gemburkan sesetengah pihak. Sebaliknya, kedaulatan Kedah yang telah dicabar melalui sikap prejudis pihak tertentu,” tegas kenyataan itu.

Mereka turut menempelak tindakan segelintir pihak yang membantah semakan nilai pajakan Pulau Pinang, sedangkan perkara itu termaktub dalam Perkara 167 (7) Perlembagaan Persekutuan.

“Soalnya, apakah pemberian khas di bawah perjanjian bertarikh 6 Mei 1869 itu masih munasabah selepas lebih 150 tahun berlalu?” ujar kenyataan dibacakan di Lobi Parlimen itu hari ini.

Kenyataan itu juga menyentuh mengenai penolakan terhadap tuntutan caj penggunaan sumber air mentah Sungai Ulu Muda oleh Kedah, sedangkan negeri itu sendiri dikenakan bayaran untuk kegunaan domestik airnya.

“Maka siapa sebenarnya yang mencabar kedaulatan siapa? Inilah sikap hipokrit pemimpin ultra kiasu yang mahu mengenepikan kepentingan sejarah negeri-negeri yang ada,” ujar mereka lagi.

Ahli Parlimen Kedah turut menzahirkan rasa kesal terhadap pihak-pihak yang tidak menghormati titah Tuanku Sultan Kedah yang mahu isu ini dimuktamadkan dengan tuntas.

Kenyataan itu menegaskan bahawa langkah Kerajaan Negeri Kedah membawa isu ini ke mahkamah adalah pendekatan terbaik bagi memastikan kejelasan fakta sejarah dan hubungan sah antara Kedah dan Pulau Pinang dapat ditentukan secara adil dan berdaulat.

“Mahkamah adalah institusi yang selayaknya untuk merundingkan pertikaian ini dan menentusahkan kedudukan serta hubungan Pulau Pinang dengan Negeri Kedah,” tegas mereka. – HARAKAHDAILY 13/11/2025

- Advertisement -