‘Jika ROS diam dua minggu, kita protes besar-besaran’

DAP semakin biadab, ROS perlu bertindak

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Syed Hasan Syed Ali menegaskan tindakan pihaknya menyerahkan memorandum bantahan terhadap kelulusan Perlembagaan DAP kepada ROS dibuat kerana bimbang terhadap kecenderungan parti itu yang semakin cauvinis dan biadab.
 
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) itu berkata, DAP dilihat semakin hari semakin celupar dan bertindak terang-terangan menonjolkan sikap cauvinis yang boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.
 
“Kita terlalu diam lama membiarkan DAP semakin hari semakin celupar, biadab dan cauvinis. Bila kita kaji balik, ianya betul-betul menuruti perlembagaan mereka dan juga dengan Deklarasi Setapak yang mereka pernah buat dulu. Ia agak bahaya kalau dibiarkan.
 
“Kita tidak mahu akan datang berlaku apa-apa tragedi dalam negara kita seperti rusuhan kaum kerana makin celupar ini menahan kemarahan orang Melayu. Dah makin sampai ke tembok,” ujarnya.
 
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum bantahan berhubung Perlembagaan DAP kepada kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), di sini hari ini.
 
Tindakan keterlaluan pemimpin DAP
 
Menurutnya, kenyataan serta tindakan pemimpin DAP kebelakangan ini semakin keterlaluan termasuk dalam isu agama dan bahasa.
 
“Lihatlah sampai mereka berani baca ayat-ayat Bible dalam Parlimen untuk mempertahankan hak mereka nak minum minuman alkohol. Itu sepatutnya tidak boleh sama sekali,” bidasnya.
 
Beliau turut mengulas kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, yang menyindir wartawan baru-baru ini serta membidas sikap pemimpin Melayu yang terlalu berdiam diri terhadap tindakan pemimpin DAP.
 
“Kor Ming baru-baru ini menyindir wartawan. Saya tak kisah pasal wartawan itu nak kena adu atau tidak. Pandailah ketua editor dia. Tapi saya difahamkan wartawan itu pun dah dipindah ke bahagian lain. Maknanya editor akhbar Melayu pun mengalah.
 
“Pemimpin-pemimpin Melayu senyap bila DAP kata mereka takkan padamkan prinsip ‘Malaysian Malaysia’ dalam Perlembagaan. Tak melawan, terus senyap,” tempelaknya.
 
Beliau turut menegur kerajaan yang terlalu ghairah menggunakan bahasa Inggeris dalam urusan rasmi dan nama program.
 
“Kita hairan kerajaan sekarang ni tak habis-habis dengan nama program ‘My’ itu, ‘My’ ini. Baru-baru ini ‘i Lite (You) Terangkan Kamu’. Kenapa tak boleh guna Bahasa Melayu?
 
“Negara lain tak buat begitu pun. Di Jepun dan China, tulisan mereka kekal dalam bahasa sendiri,” bidasnya lagi.
 
Syed Hasan turut melahirkan rasa kurang senang terhadap sikap pelancong asing terutama dari China yang semakin tidak menghormati rakyat tempatan.
 
“Kita tengok pelancong dari sana dah makin kurang ajar sebab pemimpin kaum Cina dalam kerajaan beri muka sangat. Macam-macam nak bagi supaya mereka mudah sampai. Ada yang simbah staf kafe, maki hamun macam negara ni mereka punya,” kesalnya.
 
Utama Perlembagaan DAP?
 
Syed Hasan turut berkata sekolah-sekolah Cina termasuk sekolah swasta kini lebih mengutamakan Perlembagaan DAP berbanding Perlembagaan Negara.
 
“Saya lihat anak-anak murid di sekolah-sekolah Cina swasta ini lebih ke kiblatkan Perlembagaan DAP daripada Perlembagaan Negara. Mereka lebih tahu Perlembagaan DAP, bukan Perlembagaan Negara.
 
“Silibus-silibus di sekolah swasta Cina pula daripada luar negara, bukan silibus kita. Jadi pemikiran mereka tidak lagi ada jati diri terhadap negara
 
“Apa lagi ditanam dengan perlembagaan yang songsang bertentangan dengan perlembagaan negara oleh DAP punya perlembagaan. Itu yang saya risau,” katanya.
 
Bantahan lebih besar
 
Beliau turut menegaskan bahawa pihaknya akan menghantar memorandum bantahan sekali lagi jika ROS tidak memberi maklum balas dalam tempoh dua minggu.

- Advertisement -

“Kalau dalam masa dua minggu ROS tak ada keluar apa-apa kenyataan, kita akan buat lagi besar-besaran. Hantar lagi memorandum sampai penat mereka nak ambil.
 
“Kita tak ada (terima) arahan sesiapa. NGO-NGO yang berfikir perlu buat desakan sekarang. Kita tak boleh diam lagi. Puak-puak ni dah melampau,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 13/11/2025

- Advertisement -