Sidang DUN Kedah hangat kerana perkataan ‘hang’

ADUN DAP diminta tarik balik kerana dituju kepada MB

- Advertisement -

ALOR SETAR: Teh Swee Leong (DAP-Kota Darul Aman) diminta menarik balik serta memohon maaf kerana menggunakan perkataan ‘hang’ yang ditujukan kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

- Advertisement -

Perkataan ‘hang’ yang ditujukan kepada Menteri Besar itu, disebut ketika mengambil bahagian pada ucapan perbahasan sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Terdahulu, beberapa ahli dewan daripada pihak kerajaan bangun untuk membantah panggilan ‘hang’ yang ditujukan kepada Menteri Besar itu, namun ahli dewan daripada pembangkang itu tidak memberi ruang.

Bagaimanapun ketika giliran Abdul Ghafar Saad (PN-Guar Chempedak) menyampaikan perbahasan, ruang digunakan Ustaz Azizan Hamzah (PN-Bukit Selambau) meminta agar Swee Leong menarik balik perkataan tersebut dan memohon maaf.

Desakan itu diterima ADUN terbabit dan beliau memohon maaf kepada sidang dewan dan menarik balik perkataan ‘hang’ dengan menggantinya dengan perkataan ‘beliau’.

Pada ucapan perbahasan itu, Swee Leong mendakwa tidak berpuas hati apabila namanya dipetik oleh Dato’ Seri Muhammad Sanusi ketika pembentangan Bajet Kedah 2026, kelmarin.

Sanusi pada perbentangan itu, menyoal ADUN tersebut berkenaan status di media sosialnya berkaitan kenaikan cukai taksiran Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) yang mendakwa kenaikan itu diluluskan oleh Menteri Besar.

Secara spontan Dato’ Seri Muhammad Sanusi menyoal Swee Leong, bilakah pihaknya mengeluarkan kenyataan meluluskan kenaikan cukai tersebut.

Malah pada sidang medianya pada hari pertama persidangan, Sanusi sekali lagi meminta ADUN berkenaan dan seorang menteri lain menyatakan bilakah beliau meluluskan kenaikan cukai berkenaan – HARAKAHDAILY 12/11/2025

- Advertisement -