The Pearl of Kedah bantu atasi isu pelajar tercicir

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri sentiasa prihatin terhadap isu-isu keciciran pendidikan khususnya dalam kalangan pelajar miskin dan menetapkan beberapa perancangan serta inisiatif untuk mengatasi masalah berkenaan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Insan dan Pembasmian Kemiskinan, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali berkata, inisiatif itu dirancang melalui tiga aspek utama untuk memastikan ekosistem sekolah serta suasana pembelajaran juga dapat menyokong mengatasi masalah tersebut.

“Melalui inisiatif itu juga, kita menyediakan bantuan kewangan kepada pelajar dan keluarga pelajar untuk mendapatkan keperluan asas ke sekolah, termasuk bimbingan serta sokongan moral kepada pelajar dan keluarga terbabit,” jelasnya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan yang diaju Mardhiyyah Johari (PN-Pengkalan Kundur) pda Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Mardhiyyah pada soalan tersebut memohon penjelasan berkaitan perancangan Kerajaan Negeri bagi membasmi keciciran pendidikan terutama dalam kalangan anak-anak dari keluarga miskin serta bermasalah.

Dalam pada itu Dato’ Ashah juga menjelaskan, program The Pearl of Kedah juga merupakan inisiatif kerajaan Negeri bagi tempoh jangka panjang bagi mengatasi masalah berkenaan.

Program tersebut juga katanya, menitikberatkan perhubungan psikologi, membimbing, memberi penghargaan, kasih sayang dan mengasah kemahiran lain agar mampu menjadi insan yang berguna, sekali gus bermanfaat kepada masyarakat dan negara.

“Pearl of Kedah ini telah dilaksanakan sejak Jun 2024 dan akan berterusan sehingga 2028. Program ini  melibatkan pelajar lelaki dan perempuan, berumur 13 tahun pada 2024. Untuk makluman, jumlah keseluruhan pelajar yang telah menyertai program ini adalah seramai 300 orang pelajar dari seluruh negeri Kedah.

“Mereka akan dilatih untuk meningkatkan kemahiran tambahan antaranya kemahiran softskill yang diperlukan pada masa kini seperti kemahiran mengenali potensi diri, kemahiran kepimpinan dan kemahiran sosial. Termasuk kemahiran sebagai persiapan ke arah melahirkan generasi The Greater Kedah,” kata beliau.

Mengulas lanjut, beliau juga menjelaskan, pihak penyelaras program yang dilantik juga bertanggungjawab memantau perkembangan akademik dan kokurikulum persekolahan para peserta, agar tidak ketinggalan kerana kemiskinan dihadapi.

Bagi memastikan program tersebut mencapai matlamat dan berjalan seperti dirancang, ujar Dato’ Ashah, sejumlah kewangan telah diperuntukan oleh Kerajaan Negeri iaitu sebanyak RM256,000 untuk tempoh dua tahun (2024-2025) .

“Segala kos perbelanjaan untuk pelajar menyertai setiap aktiviti dan modul yang disediakan adalah ditanggung sepenuhnya oleh pihak Kerajaan Negeri termasuklah keperluan untuk memulakan sesi persekolahan yang baru,” tambah beliau.

Beliau juga memaklum, antara inisiatif lain diusahakan Kerajaan Negeri ialah bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) melibatkan semua sekolah, rendah dan menengah, termasuk guru Bimbingan dan Kaunseling untuk aktiviti ‘Ziarah Cakna’ kepada pelajar tercicir serta berisiko tercicir.

Program itu katanya, dilaksanakan melalui mekanisme lawatan kepada golongan sasar, seterusnya mengenal pasti isu dialami yang menyebabkan keciciran dalam pendidikan serta mengambil tindakan bagi membantu pelajar terlibat meneruskan pendidikan dan lulus dalam peperiksaan. 

“Melalui pendekatan ini, pihak sekolah dapat memberikan solusi jangka pendek dan jangka panjang melalui mitigasi yang bersesuaian supaya murid terbabit mendapat bimbingan sewajarnya,” jelas beliau.

Sementara menjawab soalan tambahan yang juga diaju oleh Mardhiyyah, Dato’ Ashah berkata, Kerajaan Negeri melalui program The Pearl of Kedah memperkenalkan caruman tabungan SSPN sebanyak RM30 sebulan bagi setiap peserta.

Seramai 300 pelajar daripada keluarga B40 ujarnya, dipilih sebagai peserta awal program tersebut, yang akan dipantau dan dibimbing secara berterusan sehingga usia 17 tahun.

“Dana tabungan ini hanya boleh dikeluarkan apabila mereka menyambung pelajaran ke peringkat institusi pengajian tinggi (IPT), sebagai sokongan kewangan untuk melanjutkan pelajaran. Caruman SSPN sebanyak RM30 sebulan dalam tempoh tiga tahun berjumlah RM1,080.00.

“Langkah ini mencerminkan keazaman Kerajaan Negeri Kedah untuk menamatkan rantaian kemiskinan melalui pendidikan, dengan memberi peluang dan sokongan konkrit kepada anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah agar tidak tercicir dalam pelajaran serta mampu mencapai kejayaan pada masa hadapan,” jelas beliau lagi.

Pada soalan tambahan itu, Mardhiyyah mohon penjelasan apakah perancangan Kerajaan Negeri secara jangka masa panjang agar pelajar terbabit tidak terperangkap dalam kemiskinan secara berpanjangan. – HARAKAHDAILY 12/11/2025

- Advertisement -