
ALOR SETAR: Program seperti sambutan perayaan pelbagai kaum, sukan perpaduan, aktiviti gotong-royong dan program kemasyarakatan di peringkat akar umbi terus dilaksanakan bagi mengukuhkan hubungan perpaduan antara komuniti.
Program tersebut juga menjadi platform penyatuan masyarakat selain melalui projek pembangunan sosial, ekonomi dan kemasyarakatan yang melibatkan semua lapisan rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India dan Siam serta NGO, Wong Chia Zhen, menjelaskan demikian ketika menjawab soalan yang diajukan oleh Ahmad Sulaiman (PN-Belantik) berkenaan pengukuhan kaum di Kedah.
“Semua jabatan dan agensi digerakkan untuk melaksanakan program yang menekankan nilai kebersamaan, toleransi dan hormat-menghormati selaras dengan aspirasi ‘Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua.
“Malah pihak saya juga berusaha memastikan suara semua komuniti, Cina, India, Siam, dan lain-lain didengar dan dilibatkan. Bukan kerana mereka minta diberi keistimewaan, tetapi kerana mereka juga rakyat negeri ini yang menyumbang kepada pembangunan,” jelas beliau.
Sementara dalam kerangka The Greater Kedah kata beliau, penyertaan semua kaum bukan hanya berlaku di atas pentas sambutan atau gambar di media sosial sahaja, tetapi diterjemah melalui dasar yang menyentuh kehidupan seharian.
Sementara melalui skim bantuan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri ujar Chia Zhen, turut memastikan bantuan tersebut diterima tanpa mengira kaum atau agama.
“Usaha diteruskan untuk menanam nilai perpaduan, cinta negeri dan semangat kekitaan dalam kalangan generasi muda melalui program pendidikan di sekolah, juga diberi perhatian sewajarnya,” tambahnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim itu juga berpandangan, perpaduan yang sejati tidak boleh bergantung kepada simbolik, slogan atau retorik semata-mata dan ia akan menjadi realiti apabila ikhlas dalam memandang rakyat sebagai rakyat.
“Bukan melalui lensa kaum, tetapi dengan semangat kebersamaan sebagai anak negeri Kedah. Jika prinsip ini terus menjadi pegangan bersama, saya yakin Kedah akan terus menjadi negeri contoh yang stabil, inklusif dan matang.
“Serta bersedia untuk memainkan peranan lebih besar dalam membina Malaysia yang lebih bersatu dan sejahtera,” kata beliau lagi. – HARAKAHDAILY 12/11/2025











