
MENATAP hambar, berkerut dahi apabila menonton pelbagai siaran audio dan visual di media sosial Konvensyen PAN di SACC, Shah Alam. Dalam kesibukan penulis mengejar pelbagai program seakan meruak kembali memori silam. Apabila Mohamad Sabu membuka tirai konvensyen dengan meremehkan negeri yang ditadbir oleh PAS dengan tema ‘Membangun Bersama Islam’, penulis mula merasa gelisah dengan keceluparan Presiden parti serpihan PAS itu. Beliau pernah menumpang rezeki negeri yang diremehkan itu pada tahun 1990 sebagai Ahli Parlimen Nilam Puri. Segalanya dengan duit amilin PAS Kelantan, bayaran deposit, jentera kempen serta kucuran doa alim ulama yang ikhlas di Tanah Serendah Sekebun Bunga. Beliau menerima pencen sebagai MP Kelantan, jangan lupakan pengorbanan negeri yang beliau sifatkan mundur itu.
Membina naratif gelap kemunduran negeri Melayu Islam adalah cicipan DAP dalam kempen mereka selama ini. Malanglah bagi Mohamad Sabu yang tidak memahami latar sejarah negara pra merdeka serta seolah-olah tidak berempati bagaimana pengucilan Kerajaan Pusat terhadap Kelantan sejak tahun 1990.
Dalam zaman kolonial, penumpukan perbelanjaan ‘the white man burden’ adalah di negeri-negeri Pantai Barat seperti Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Segalanya bermuara daripada usaha mengeluarkan hasil bumi Malaya maka infrastruktur negeri-negeri Pantai Barat jauh lebih hebat menandingi negeri-negeri Pantai Timur. Pasca kemerdekaan, kepincangan konsep federalisme oleh Kerajaan Perikatan/BN juga menjolok mata apabila mengabaikan negeri-negeri yang diperintah oleh pembangkang.
Kelantan adalah model aplikasi kepada PAS, yang akhirnya ditiru pula oleh banyak pihak di negara ini. Pelbagai pembaharuan dibuat untuk mengubah Kelantan, kekal negeri ini 35 tahun di bawah PAS dengan rekod tanah rezab Melayu paling selamat, penuh integriti dengan tiada kes korupsi.
Kelantan sentiasa rancak dengan budaya ilmu, menjadi pembekal utama sumber manusia berkualiti kepada Malaysia dengan 170,000 orang penjawat awam berasal dari Kelantan. Kelantan berjaya melebur ketidakyakinan terhadap pentadbiran Islam yang ditanam oleh Barat sejak sekian lama.
Pada hari kedua konvensyen, tampang jelek parti Dewan Himpunan DAP ini mulai kelihatan. Suasana menjadi tegang apabila usul berkaitan pemilihan parti pada tahun hadapan. Ada yang mencadangkan agar ditangguhkan selepas PRU manakala ada yang mencadang untuk diadakan. Ada yang diseret petugas keselamatan konvensyen ke luar Dewan. Jerit tempik tanpa adab bersipongang dalam dewan konvensyen.
Teringat pula penulis saat Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat pada 2014 di Batu Pahat, Johor. Ketegangan serta suasana kurang adab meledak sehingga Ustaz Kamal Shaari, Pengerusi Tetap Dewan Pemuda dibawa ke hospital. Penulis sebagai Timbalan Pengerusi Tetap cuba mengawal sorakan serta suasana tegang; menariknya sebahagian besar anak muda yang pongah itu menaiki kapal PAN pada tahun 2014.
Kekecohan ketika konvensyen PAN berlangsung sangat kontradik dengan ucapan Khalid Samad bahawa mereka perlu berakhlak dan jangan terpengaruh dengan PAS. Setakat Malaysia mencapai kemerdekaan, tiada lagi parti paling damai dalam menjalankan mesyuarat agung serta pemilihan pemimpin selain PAS. Tiada maklumat mesyuarat PAS Pusat pernah bocor melainkan sebagaimana tatkala kabilah PAN ini berada dalam pimpinan PAS. Mana mungkin abnaul harakah yang ditarbiah dengan tarbiah imaniah berakhlak seperti orang gasar!
Bagi generasi baru yang mula berkecimpung dalam medan siasah, mungkin tidak menyedari asal muasal parti yang didokongi oleh DAP ini. Pelbagai ucapan muluk-muluk cuba menjadi ‘kepulan asap palsu’ untuk menutupi isu power struggle di dalam PAN yang terkini. Bau hanyir tidak mampu ditutupi dengan tudung saji lagi bahkan ianya merebak dengan pantas sehingga PAN menjadi bahan gelak ketawa peminat-peminat politik.
Sejujurnya, bahtera PAN tetap tidak akan sama dengan bahtera PAS yang didukungi oleh umat yang merindui tertegaknya Islam di tanah air ini. Bahtera jamaah PAS terpandu oleh ulama melalui Majlis Syura Ulama (MSU). Jangan buat-buat lupa juga, pemimpin PAN semasa berada di dalam PAS cuba untuk menstruktur semula Majlis Syura Ulama (jangan buat lupa apa perancangan 2015 ‘team dikhayalkan progresif’ ini, namun disikapi dengan bijak oleh Tan Sri Tuan Guru Presiden dalam mesyuarat terakhir sebelum Muktamar di Kuala Selangor). MSU tetap teguh mentarjih perjalanan PAS, sehingga harakatul ummah kini memayungi empat buah kerajaan negeri, dengan seramai 43 orang Ahli Parlimen dan seramai 148 orang ADUN.
Falasi yang cuba dilontar kepada Tuan Guru Presiden PAS sebelum ini sebagai diktator, punca perpecahan umat, mengkhianati permuafakatan politik dan pelbagai tuduhan lagi oleh beberapa orang pemimpin kanan PAN yang juga tebal dengan sentimen anti Tuan Guru tidak sesekali melencongkan akal waras kami ahli-ahli PAS yang cinta akan perjuangan Islam serta alim ulama.
Dangkalnya, apabila mereka mengaitkan Amanat Banggol Peradong sebagai radikalisme politik yang menjadi sumber kerancuan berfikir ahli-ahli PAS. Walhal, sebahagian mereka masih dalam NGO yang berseberang idea dengan PAS semasa zaman kebangkitan semula Islam (era Amanat Banggol Peradong). Apatah lagi isu Banggol Peradong telah dijelaskan secara akademik, tiada yang bercanggah dengan Islam. Selepas keluar daripada PAS, nampaklah ‘perut hodoh’ pemimpin PAN tentang isu batas-batas iman dan kufur.
Konvensyen mereka juga mengulangi senjata fitnah terhadap PAS seperti yang diluncurkan oleh Naib Presiden PAN. Falasi lain yang direkayasa oleh PAN bahawa mereka sudah tidak mampu bertahan dengan sikap ghuluw siasi PAS setelah ketiadaan tokoh-tokoh seperti Almarhum Ustaz Dato’ Fadzil Nor dan Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Aziz.
Menurut PAN yang berhalusinasi, pendekatan keras dan seolah-olah wacana politik Islam hanyalah milik PAS. Kelompok lain tidak layak mewakili wacana Islam seolah-olah PAS memegang ‘kunci syurga’ lantas dengan kesepakatan pelbagai parti lain, mereka keluar daripada PAS.
Umumnya, amilin PAS yang puas berkeringat di lapangan masih lagi kuat ingatan bagaimana kelompok G18 ini ditolak oleh para perwakilan Muktamar PAS 2015 di Kuala Selangor. Pergolakan PAS sebelum dan selepas muktamar di Kuala Selangor 2015 telah menatijahkan PAS kehilangan sebahagian ahlinya, bermula dengan 18 orang pemimpin yang tewas dalam Muktamar kali ke-61 yang kemudian mereka menamakan diri sebagai Gerakan Harapan Baru (GHB), seterusnya membeli Parti Pekerja dan menjenamakannya sebagai Parti Amanah Negara (PAN). Kemasukan secara en bloc teman-teman NGO ber-DNA IRC, JIM, IKRAM dan juga ahli-ahli PAS yang terkeliru serta kempen agresif parti sekutu DAP itu sedikit sebanyak menggegarkan PAS pada awal penubuhannya.
Hakikatnya, PAN tidak berupaya merungkai sejarah emas PAS. Harakatul ummah ini Insya-Allah dipelihara oleh Allah. Jahatnya ratib mereka semasa dalam PAS seolah-olah kelompok pro ulama ingin bergabung dengan Umno, kelompok nasionalis pragmatis Melayu yang mereka gelarkan sebagai penyamun. Bahkan kekal konsisten sehingga konvensyen mereka di SACC, Shah Alam terkini meletakkan Umno sebagai ‘parti penyamun’.
Ironisnya, Umno itulah juga adalah rakan kongsi kuasa mereka kini yang pastinya akan merampas kerusi-kerusi PAN bertanding sebelum ini. Torehan pada dinding sejarah bahawa PAN adalah khadam DAP serta dibidani untuk menjadi rakan sekutu DAP tidak akan mampu dipadamkan.
Penulis meramalkan jalan sukar dan berliku untuk mereka bertahan lama, jika kerusi yang mereka menangipun adalah hasil pemberian undi kaum bukan Melayu. Kerana jika bertanding kawasan Melayu mereka akan hilang wang deposit, dikucilkan seperti kupang tembaga!
DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 13/11/2025











