Malaysia-China: Hubungan strategik, kewaspadaan ekonomi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pakar ekonomi, Dr Muhammed Abdul Khalid berpendapat, hubungan Malaysia–China merupakan satu realiti yang tidak boleh dielak, namun ia perlu diurus dengan keseimbangan strategik dan keberanian politik.

- Advertisement -

Beliau menegaskan, sebarang bentuk kerjasama mesti berpaksikan prinsip timbal balik (mutual benefit) dan tidak menjadikan Malaysia terlalu bergantung kepada satu kuasa ekonomi sahaja.

“Kita tidak boleh menolak China, tetapi kita mesti berani mengurus hubungan ini dengan penuh ketelusan, prinsip dan kepentingan rakyat,” ujarnya mengupas tajuk “Bagaimana Hubungan dengan China Selepas Ini?” dalam The Tiger Show RAW Episod ke-13 baru-baru ini.

Perbincangan tersebut adalah untuk melihat sejauh mana Malaysia harus memperkukuh hubungan dengan kuasa ekonomi terbesar Asia itu tanpa menjejaskan kedaulatan dan keupayaan menentukan dasar negara sendiri.

Dr Muhammed turut mengingatkan bahawa projek-projek besar melibatkan pelaburan China seperti Belt and Road Initiative (BRI) perlu dinilai secara menyeluruh.

Iaitu jelas beliau, bukan hanya dari sudut keuntungan ekonomi jangka pendek, tetapi juga impaknya terhadap industri tempatan, peluang pekerjaan dan daya tahan ekonomi negara.

Katanya, Malaysia perlu memperluas jaringan diplomasi ekonomi dengan rakan serantau seperti ASEAN, Jepun, Eropah serta dunia Islam bagi memastikan negara tidak terikat pada satu blok kuasa sahaja.

Pendekatan pelbagai hala ini menurutnya, penting untuk melindungi maruah negara dan memastikan hubungan antarabangsa kekal bebas dan bermatlamat nasional.

Beliau juga berpandangan bahawa Malaysia wajar memperkukuh keupayaan ekonomi domestik agar tidak mudah dipengaruhi oleh tekanan luar, terutama dalam sektor strategik seperti tenaga, teknologi dan keselamatan makanan.

“Asas kekuatan kita bukan terletak pada siapa yang kita bergantung, tetapi sejauh mana kita membina kekuatan sendiri untuk berdiri teguh dalam dunia yang penuh persaingan,” jelasnya lagi.

Dalam konteks hubungan Malaysia–China, perbincangan ini membuka ruang kesedaran baharu bahawa diplomasi moden bukan lagi soal tunduk atau menolak, tetapi soal kebijaksanaan mengimbangi kuasa dengan maruah nasional. – HARAKAHDAILY 12/11/2025

- Advertisement -