Himpun 36 kelab motor dalam Suara Roda Nasional

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Alternatif Riding Club (ARC) Malaysia membuktikan keupayaannya sebagai platform penyatuan komuniti penunggang motosikal apabila berjaya menghimpunkan 36 kelab dalam Majlis Suara Roda Nasional di Kampung Pandan malam tadi.

- Advertisement -

Majlis anjuran bersama ARC Selangor itu mencipta suasana ukhuwah luar biasa apabila pelbagai latar belakang penunggang duduk semeja dalam semangat kebersamaan membincangkan isu keselamatan, kebajikan dan masa depan dunia permotoran tanah air.

Antara kelab turut hadir termasuk GBC, ZTG, Kakak Motor Besar, Semerah Bikers, Brother Motor KL, FBG Motorsports, BigBoss MC, Siswa, Komuniti BMW Bersatu, RD Club, FZ Boss, ARC, Perantau Anak Kedah, Sifu Bikers, Highway Patrol, ARC KL, Kita Rider Tiada Beza, Rangoop, Bills Bikers dan puluhan lagi kelab aktif sekitar Lembah Klang.

Majlis Suara Roda Nasional juga menjadi wadah penting untuk mendengar pelbagai cadangan praktikal, keluhan dan aspirasi daripada penunggang motosikal yang saban hari berdepan realiti di jalan raya.

Hadir mendengar sendiri pandangan komuniti ini ialah Ahli Parlimen Alor Setar, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden dan Penasihat ARC Malaysia, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin serta Presiden ARC Malaysia, Ustaz Hanafi Zulkapli.

Majlis berlangsung dengan perbincangan yang terbuka dan santai, namun sarat dengan isi bernas, daripada soal keselamatan jalan raya, kebajikan penunggang hingga cadangan kerjasama dengan agensi kerajaan.

Kehadiran pelbagai kelab besar dan kecil juga menjadi simbol bahawa komuniti pemotor kini lebih bersatu dan berjiwa masyarakat, bukan sekadar kelompok hobi semata-mata.

Semangat kebersamaan yang ditonjolkan dalam majlis itu menunjukkan bahawa motosikal bukan sekadar kenderaan, tetapi medium perjuangan sosial, perpaduan dan dakwah yang tersendiri.

Sambutan menggalakkan itu jelas menggambarkan kepercayaan tinggi komuniti motosikal terhadap ARC sebagai jambatan penghubung antara suara pemotor dan pihak berautoriti. – HARAKAHDAILY 12/11/2025

- Advertisement -