‘Misi saya mudah dan jelas, Merotai Kita Sejahtera’

Hasan Haris menyantuni masyarakat Pekan Merotai yang turut mengimbau kenangan dengan arwah bapanya dan kawan-kawan.
- Advertisement -

KALABAKAN: Hasan Haris menerima pencalonan bagi mewakili PERIKATAN NASIONAL (PN) di DUN N72 Merotai dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

- Advertisement -

Menurut beliau, ia bukan soal jawatan, tetapi soal amanah yang untuk berkhidmat kepada rakyat Merotai.

“Di sinilah tempat saya membesar dan mengenal erti susah senang masyarakat. Saya tahu denyut nadi Merotai daripada petani, peniaga kecil, anak muda sehinggalah warga emas,” katanya ketika ditemui Harakahdaily.

Justeru, beliau mengharapkan rakyat Merotai terus bersatu dan yakin bahawa masa depan yang lebih baik itu dapat dicapai bersama-sama.

“Kita ada potensi besar, tanah yang subur, anak muda yang rajin dan masyarakat yang kuat semangat gotong royong,” katanya selaku Penyelaras PN DUN Merotai.

Sehubungan itu, beliau yakin jika masyarakat bergerak bersama, Merotai boleh bangkit menjadi satu kawasan contoh di negeri Sabah ini bukan sahaja dalam aspek ekonomi tetapi juga dalam semangat kebersamaan rakyatnya.

“Misi saya mudah dan jelas iaitu Merotai Kita Sejahtera. Saya mahu memastikan pembangunan bukan hanya diatas kertas, tetapi benar-benar dirasai oleh rakyat melalui aspek ekonomi, kebajikan dan kemasyarakatan, pendidikan serta belia dan sukan,” jelasnya.

Beliau percaya dengan gabungan pengalaman, tenaga anak muda dan semangat rakyat, Merotai akan menjadi kawasan yang sejahtera, berdaya maju dan membanggakan negeri Sabah.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 November ini sebagai tarikh pengundian PRN Sabah ke-17, sementara penamaan calon pada 15 November manakala pengundian awal 25 November. – HARAKAHDAILY 12/11/2025

- Advertisement -