Mahu Suara Roda Nasional diangkat ke Dewan Rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Majlis Suara Roda Nasional anjuran Alternatif Riding Club (ARC) Malaysia telah menyuarakan keresahan, cabaran serta cadangan penambahbaikan terhadap isu keselamatan dan kebajikan penunggang motosikal di negara ini.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Alor Setar, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden hadir bagi mendengar sendiri pandangan serta suara rakyat di jalan raya pada majlis di Restoran Saprah, Kampung Pandan, di sini malam tadi.

Dalam sesi Suara Roda yang menjadi fokus utama majlis, para peserta diberi ruang berkongsi pandangan dan cadangan praktikal bagi memperkukuh keselamatan dan kesejahteraan penunggang motosikal di seluruh negara.

Ustaz Afnan dalam ucapannya menegaskan komitmen beliau untuk mengangkat isu dan suara komuniti motosikal ke Parlimen, khususnya ketika sesi bersama Menteri Kerja Raya dan Menteri Pengangkutan.

“Suara dari bawah ini mesti didengari dan diterjemahkan dalam bentuk dasar yang nyata dan berkesan,” ujar beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Malaysia dan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN).

Antara isu dan cadangan utama yang diketengahkan termasuklah keperluan parkir mesra motosikal, pencahayaan di kawasan gelap dan selekoh berbahaya, serta tindakan pantas terhadap jalan berlubang dan permukaan tidak selamat.

Selain itu, peserta turut mencadangkan pelaksanaan kempen kesedaran keselamatan motosikal di media arus perdana, program bantuan lesen motosikal untuk golongan belia dan B40, serta penyediaan bengkel kecil di R&R bagi membantu penunggang ketika kecemasan.

Cadangan lain termasuk penambahan ciri keselamatan di selekoh bahaya, kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam menyalurkan dana kepada kelab motosikal berdaftar, dan pembinaan tempat teduhan strategik untuk kegunaan penunggang ketika hujan atau kecemasan.

Antara menarik adalah pandangan menekankan keperluan pendekatan moden dan mendidik dalam menangani isu rempit, bukan dengan pendekatan ‘pukat’ atau tangkapan besar-besaran yang hanya menambah mudarat.

Menurutnya, ramai anak muda perlu dibimbing dan diberikan ruang untuk beraktiviti secara sah serta berdisiplin melalui program sukan permotoran kecil, bukan terus dilabel dan dihukum.

Ustaz Afnan turut menyeru agar suara penunggang motosikal tidak dipandang kecil, kerana mereka juga sebahagian daripada nadi penggerak ekonomi rakyat marhaen di jalanan.

Turut memeriahkan majlis ialah Abang Ijam Medicine, tetamu istimewa yang mempersembahkan tiga buah lagu khas untuk komuniti pemotor. – HARAKAHDAILY 12/11/2025

- Advertisement -