Komuniti motor gesa mansuh Smart Lane di lebuh raya

Tak realistik, gagal utama keselamatan pengguna motosikal

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Cadangan pemansuhan Smart Lane menjadi antara suara paling lantang disuarakan komuniti motosikal dalam Majlis Suara Roda Nasional anjuran Alternatif Riding Club (ARC) Malaysia di Kampung Pandang, di sini malam tadi.

- Advertisement -

Majoriti kelab menyuarakan gesaan ahli-ahli mereka yang berpendapat bahwa pendekatan diperkenalkan di lebuh raya seluruh negara tersebut bukan sahaja tidak praktikal, malah membahayakan nyawa penunggang dan pembonceng motosikal.

Menurut wakil-wakil kelab, pelaksanaan Smart Lane iaitu lorong khas yang diwujudkan bagi mengurangkan kesesakan dengan menyalurkan laluan ke bahagian kiri jalan, ternyata mendatangkan lebih banyak mudarat berbanding manfaat.

Antara isu diketengahkan adalah keadaan jalan yang sempit, permukaan tidak rata, dan kedudukan bersebelahan dengan kenderaan berat seperti lori dan bas menambah risiko kemalangan, khususnya ketika waktu malam dan hujan.

“Smart Lane kononnya untuk kurangkan ‘jammed’ (kesesakan), tapi hakikatnya makin membahayakan kami (pengguna motosikal). Bila lori tukar lorong tanpa isyarat, kami yang kecil ni jadi mangsa. Kalau jatuh, tiada ruang untuk elak atau selamatkan diri,” ujar seorang wakil kelab.

Turut dikongsi ialah pengalaman penunggang yang mendapati Smart Lane sering dinaiki air, dipenuhi pasir serta tidak mempunyai pencahayaan mencukupi di mana bukan sahaja menyukarkan tunggangan, malah menjadi lorong ‘perangkap maut’.

Ahli Parlimen Alor Setar, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden dalam diskusi itu menegaskan komitmennya untuk membawa isu berkenaan ke Parlimen, bagi mendesak penilaian semula dasar tersebut oleh Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kerja Raya.

Menurut beliau, setiap dasar berkaitan jalan raya mestilah berpaksikan kepada keselamatan pengguna, bukan sekadar percubaan teknikal yang mengabaikan realiti di lapangan.

“Kalau satu dasar menyebabkan lebih banyak kemalangan daripada penyelesaian, itu bukan kemajuan. Kita perlu dasar yang berpihak kepada rakyat, khususnya mereka yang berjuang setiap hari di atas jalan raya untuk mencari rezeki,” katanya.

Presiden ARC Malaysia, Ustaz Hanafi Zulkapli, bersama Timbalan Presiden, Azha Mat Salleh, dan Penasihat ARC, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin, turut sependapat bahawa Smart Lane perlu dikaji semula secara menyeluruh.

Mereka mencadangkan agar kerajaan memberi tumpuan kepada langkah lebih asas dan berkesan seperti menambah lampu jalan di selekoh berbahaya, memperbanyakkan parkir mesra motosikal, mempercepatkan pembaikan jalan rosak, serta memperhebatkan kempen kesedaran keselamatan motosikal di media arus perdana.

ARC Malaysia menegaskan, suara komuniti pemotor bukanlah suara kecil di pinggir jalan, sebaliknya cerminan realiti rakyat marhaen yang bergantung kepada motosikal sebagai pengangkutan utama.

Oleh itu, ARC Malaysia berpandangan bahawa sebarang dasar yang melibatkan mereka mesti lahir daripada perbincangan bersama, bukan keputusan dari meja birokrat semata-mata. – HARAKAHDAILY 12/11/2025

- Advertisement -