
SHAH ALAM: Dewan Pemuda PAS Selangor menyifatkan kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan (PH) gagal membela nasib rakyat Selangor dan mengagihkan kekayaan negeri kepada rakyat dengan adil.
Ketua Pemuda Pemuda PAS Selangor, Ustaz Mohamed Sukri Omar berkata, kegagalan kerajaan negeri dapat dilihat melalui perkembangan capaian Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dan bajet tahunan sebelum ini.
Tegas beliau, pihaknya komited memainkan peranan sebagai kumpulan semak dan imbang serta pembangkang yang konstruktif kepada kerajaan negeri selaras dengan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) diperkenalkan PAS.
Rancangan Selangor Pertama menurut beliau hanyalah sekadar kosmetik dan janji yang akhirnya menyerlahkan kelemahan dan kegagalan kerajaan di bawah pemerintahan Dato’ Seri Menteri Besar Selangor.
Berdasarkan maklumat terkini daripada Jabatan Statistik Malaysia (DOSM) petiknya, negeri Selangor mencatatkan penurunan pada kadar pertumbuhan tahunan Indeks Kesejahteraan Sosial iaitu 0.7 peratus pada 2022 berbanding 2.1 peratus pada 2021.
Ulasnya, terdapat dua subkomponen yang membimbangkan iaitu keselamatan awam dengan kadar pertumbuhan tahunan -9.3 peratus dan kesihatan dengan kadar pertumbuhan tahunan -6.3 peratus.
Subkomponen keluarga pula tambahnya, hanya mencatatkan pertumbuhan 2 peratus, jauh dari sasaran 8 peratus dalam Rancangan Selangor Pertama.
“Apakah maknanya negeri kita kaya namun rakyatnya tidak sejahtera dari sudut kualiti taraf hidup mereka?” soal beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Negeri kaya, rakyat miskin
Mohamed Sukri turut menegaskan betapa rakyat Selangor sedang bertarung dengan tekanan kos sara hidup yang terus meningkat di mana kadar inflasi ialah 1.8 peratus, lebih tinggi berbanding kadar nasional 1.5 peratus, memberi kesan kepada kuasa beli rakyat.
Program bantuan rakyat miskin pula katanya, dilihat tidak signifikan dan tidak mampu menangani beban ekonomi yang semakin menekan.
Beliau juga memetik Insiden Kemiskinan Mutlak sebanyak 1.5 peratus pada 2022, dan berdasarkan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2024, negeri Selangor tidak akan mencapai sasaran asal 0.7 peratus pada 2025 atau 0.5 peratus seperti yang ditetapkan dalam KSP RS-1.
Jurang ekonomi bandar dengan luar bandar pula ulasnya, juga kekal ketara, dengan pendapatan median di Sabak Bernam RM6,941 manakala di Sepang RM11,131.
Rumah mampu milik
Mohamed Sukri turut menekankan isu rumah mampu milik yang mana berdasarkan kajian Khazanah Research Institute, lambakan rumah berharga tinggi menyebabkan rakyat tidak mampu memilikinya.
Menurutnya, pada tahun 2024, daripada 302,998 permohonan rumah mampu milik (SPHNS), hanya 41,196 unit (13 peratus) siap, 23,224 unit (7 peratus) dalam pembinaan, 186,637 unit (62 peratus) belum dimulakan, manakala 51,941 pemohon tidak diluluskan tanpa sebab munasabah.
Bekalan air, banjir dan pembangunan ekonomi luar bandar
Beliau turut membangkitkan isu bekalan air, banjir dan pembangunan ekonomi luar bandar yang mana pada 2024, lebih 1,000 kawasan di Lembah Klang terjejas akibat gangguan air, manakala NADMA 2024 merekodkan 80 kes pencemaran sumber air di Selangor, antara tertinggi di Malaysia.
Penduduk Taman Sri Muda pula jelasnya, menyifatkan banjir sebagai ‘acara tahunan’, manakala penduduk Hulu Langat dan Gombak terkesan dengan projek tanpa kawalan di kawasan tadahan hujan yang meningkatkan risiko banjir.
Pemuda PAS tegasnya, telah beberapa kali membangkitkan kelewatan dan kecuaian kerajaan negeri dalam isu ini.
“Rakyat tidak melihat hasil daripada ratusan juta ringgit yang dibentangkan dalam Belanjawan Negeri Selangor untuk infrastruktur dan pengurusan banjir. Cukuplah beralasan. Ini masa bertindak,” katanya.
Pemuda PAS ujarnya, turut mendesak Menteri Besar Selangor membentangkan ‘progress report’ semua projek tebatan banjir yang telah, sedang dan akan dijalankan.
Beliau turut mempersoalkan projek Sabak Bernam Development Area (SABDA) yang dijanjikan membawa RM1.9 bilion pelaburan dan 3,600 peluang pekerjaan, namun kini gagal, mencerminkan kelemahan perancangan dan pentadbiran kerajaan negeri.
Realiti rakyat Selangor
Mohamed Sukri menegaskan rakyat Selangor masih berdepan realiti ekonomi yang menekan akibat pendapatan tidak seiring kos sara hidup, cabaran miskin bandar, kos rumah tinggi dan jurang ekonomi bandar–luar bandar.
Pemuda PAS katanya lagi, mendesak agar Kerajaan Negeri tidak mengulangi kegagalan RS-1 dalam Bajet Selangor 2026 dan RS-2 yang akan datang.
Cadangan
Beliau mencadangkan kerajaan negeri memperuntukkan dana yang lebih besar bagi kesejahteraan rakyat, khususnya dalam aspek keselamatan dan kesihatan.
Kerajaan juga gesanya perlu meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran isi rumah miskin mutlak supaya pendapatan mereka melepasi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK).
Selain itu cadangnya, kerajaan negeri perlu menumpukan perhatian kepada pembinaan rumah mampu milik mengikut permintaan sebenar rakyat.
“(Selain itu) Peruntukan lebih besar kepada infrastruktur luar bandar (diperlukan) untuk kurangkan jurang sosioekonomi,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/11/2025











