
KANGAR: Hubungan dua hala antara Malaysia dan Jepun terus diperkuat melalui inisiatif di peringkat negeri apabila Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli menerima kunjungan hormat Duta Besar Jepun ke Malaysia, Shikata Noriyuki.
Pertemuan yang membuka ruang kepada perbincangan mengenai potensi kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri Perlis dan Kedutaan Jepun dalam beberapa bidang utama itu berlangsung di Elissa Hotel & Suite, di sini.
Menurut Mohd Shukri, perbincangan tersebut menumpukan kepada peluang pelaburan, sektor pendidikan, teknologi hijau serta pembangunan komuniti yang berpotensi memacu pertumbuhan sosioekonomi negeri.
“Alhamdulillah, pagi ini saya berbesar hati menerima kunjungan hormat daripada Shikata Noriyuki. Perbincangan kami tertumpu kepada potensi kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri Perlis dan Kedutaan Jepun, khususnya dalam bidang pelaburan, pendidikan, teknologi hijau dan pembangunan komuniti,” katanya di sini semalam.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa hubungan baik antara kedua-dua negara telah lama terjalin akan terus diperkukuh melalui kerjasama langsung di peringkat negeri, yang mampu memberi manfaat kepada rakyat.
“Saya percaya hubungan baik antara Malaysia dan Jepun yang sekian lama terjalin akan terus diperluas melalui kerjasama yang lebih erat di peringkat negeri seperti ini,” ujar beliauyang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang.

Menteri Besar terdahulu turut mengetuai delegasi negeri Perlis ke Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) yang berlangsung bersempena The 8th China International Import Expo (CIIE) di Shanghai, China, minggu lalu.
Menurut beliau, penyertaan kali ini menjadi satu lagi langkah penting dalam usaha memperkukuh jaringan ekonomi dan memperluas pasaran produk halal Malaysia ke rantau Asia Timur.
Turut hadir bersama beliau, Exco Kerajaan Negeri Perlis, Ustaz Muhammad Azmir Azizan dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs), Ustazah Maizura Shamsuddin serta pegawai kanan kerajaan negeri.
Maklum beliau, ini merupakan kali kedua MIHAS menyertai pameran perdagangan antarabangsa di China, sekali gus menjadi platform penting dalam mengukuhkan jenama halal Malaysia di pasaran global.
Dalam kesempatan lawatan rasmi tersebut, turut diadakan sesi Kunjung Hormat dan Perbincangan Peluang Pelaburan di Perlis antara Kerajaan Negeri Perlis dan sekumpulan pelabur berpotensi dari China yang dibawa oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
“Alhamdulillah, sesi perbincangan bersama sekumpulan pelabur berpotensi dari China yang dibawa oleh MIDA ini memberi ruang kepada kita meneroka peluang kerjasama strategik dan pelaburan berimpak tinggi yang mampu memacu pembangunan ekonomi negeri,” ujar Mohd Shukri.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa terbuka kepada pelaburan baharu yang dapat memperkukuh ekosistem ekonomi negeri seiring dengan aspirasi Perlis Pintar 2030, khususnya dalam sektor bernilai tambah tinggi.
“Kita mahu pastikan setiap peluang pelaburan bukan sahaja membawa pulangan ekonomi, tetapi turut memberi manfaat kepada rakyat melalui peluang pekerjaan, pembangunan industri, dan kemajuan infrastruktur,” katanya.
Lawatan rasmi ini sekali gus menandakan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperluas diplomasi ekonomi dan menjadikan negeri ini sebagai destinasi pelaburan strategik di utara tanah air. – HARAKAHDAILY 12/11/2025












