Sokong Zero Vape, desak segera larang penjualan

- Advertisement -

SHAH ALAM: Dewan Pemuda PAS Selangor menyokong penuh program Zero Vape Peringkat Negeri Selangor 2025 yang dilaksanakan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPN Selangor) di SMK Bandar Utama Damansara (2) baru-baru ini.

- Advertisement -

Naib Ketua Pemuda Pemuda PAS Selangor, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, inisiatif JPN Selangor wajar dipuji kerana ia dapat memperkukuh nilai kesihatan, disiplin dan akhlak murid.

Malah menurutnya, inisiatif itu selari dengan tuntutan Islam untuk menjaga akal dan nyawa (maqasid syariah) serta membina generasi berilmu dan bermaruah.

Berdasarkan data Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) sehingga Disember 2024, seramai 19,450 murid dikesan menggunakan vape.

Faizzuddin turut menegaskan, terdapat laporan mengenai penyakit paru-paru yang dikaitkan dengan penggunaan vape, dikenali sebagai E-cigarette or Vaping Product Use-Associated Lung Injury (EVALI).

“EVALI boleh menyebabkan kerosakan paru-paru kekal malah membawa maut, dengan kos rawatan setiap pesakit dilaporkan mencecah RM150,892.11 untuk 12 hari di hospital,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, walaupun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah beriltizam untuk mengharamkan vape dan rokok elektronik seawal tahun depan, beberapa negeri lain sudah lebih awal mengambil tindakan.

Kelantan, misalnya, telah melarang penjualan vape sejak 2015, manakala Terengganu, Perlis, Kedah dan beberapa negeri lain turut menguatkuasakan larangan tahun ini.

Dalam pada itu, Faizzuddin turut mempertikaikan mengapa Selangor masih ragu-ragu walaupun Menteri Besar sudah menyatakan hasrat untuk mengharamkannya.

Katanya, tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022 menunjukkan prevalens pengguna rokok elektronik atau vape di Selangor adalah 9 peratus, menandakan bilangan pengguna yang tinggi.

“Walaupun Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) mula dikuatkuasakan pada 1 Oktober lalu, urusan jual beli vape masih berlaku kerana akta itu hanya mengawal pameran produk dan tidak melarang penjualannya sepenuhnya,” jelas beliau.

Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS Selangor mendesak Kerajaan Negeri segera mengharamkan penjualan vape.

“Pihak Berkuasa Tempatan juga digesa mengambil tindakan tegas dengan tidak menyambung lesen premis yang menjual vape apabila tamat tempoh. Jika bukan sekarang, bila lagi?” tegasnya. – HARAKAHDAILY 11/11/2025

- Advertisement -