
KUALA KANGSAR: Pesuruhjaya PAS Perak, Datuk Ustaz Idris Ahmad berkata, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah agar negeri ini tidak dijadikan medan pertelingkahan wajar dijadikan pedoman.
Titah tersebut dizahirkan sempena Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan 2025 di Istana Iskandariah, di sini kelmarin.
Ustaz Idris berkata, PAS Perak menjunjung tinggi saranan Tuanku agar kemerdekaan negara diisi dengan kebebasan berfikir yang beradab, kematangan berpolitik yang bertanggungjawab, serta tekad bersama dalam mengukuhkan pertumbuhan ekonomi negeri dan pembangunan negara.
Menurutnya, titah baginda juga senada dengan hasrat dan perjuangan PAS yang sentiasa menekankan agenda penyatuan ummah.
”Ia khususnya dalam kalangan umat Melayu Islam serta memperkukuh perpaduan antara kaum berteraskan roh Islam dan semangat Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.
PAS Perak turut menzahirkan sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap usaha memperkukuh perpaduan rakyat berbilang kaum di negeri ini.
”Kepelbagaian bangsa, agama dan budaya di negeri Perak ibarat anyaman tikar pelbagai warna. Setiap jalur dan warna memiliki keindahan serta nilai tersendiri, namun apabila dianyam bersama dengan kasih, hormat dan tolak ansur, maka terhamparlah satu hasil yang indah, kukuh dan harmoni.
”Demikianlah Perak Darul Ridzuan yang makmur dan bersatu di bawah naungan kasih payung Tuanku,” jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai dan Naib Presiden PAS.
Pihaknya juga menzahirkan iltizam untuk melaksanakan titah Tuanku dengan semangat muafakat, berpegang teguh kepada panduan Islam, berpolitik dengan adab dan hikmah, serta mendahulukan kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri Perak.
”PAS Perak juga akan terus menjadi rakan yang membina, menjunjung tinggi kedaulatan institusi diraja, serta mendukung segala usaha ke arah pembinaan negeri yang aman, sejahtera dan dirahmati Allah SWT sebagaimana yang dititahkan oleh Sultan Perak,” tambahnya.
Baginda berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-69 baginda.
Seramai 238 penerima yang dikurniakan darjah kebesaran dan pingat bersempena hari keputeraan baginda yang disambut pada 7 November. – HARAKAHDAILY 11/11/2025











